Friday, December 31, 2010

2010 – Masa berlalu tidak akan kembali


          Tirai tahun 2010 bakal dilabuhkan beberapa detik lagi. 2011 pula bakal kutempuhi. Aku rasakan 2010 amat bermakna bagiku untuk kukenang sepanjang hidup, memori suka duka, tawa tangis silih berganti. Kuharapkan 2010 menjadi tahun yang kuingat sehingga ke akhir hayat selagi jasad dikandung badan, selagi nafas dihirup segar.

          Dimulai tabir 2010 dengan penuh debaran kerana menanti detik keputusan SPM’09 diumumkan. Cuti yang kusangka panjang, terpaksa dipendekkan kerana aku dikerah untuk berkhidmat untuk Negara, PLKN! Kem yang bermula pada 4 Januari sehinggalah sehari sebelum SPM diumumkan. Tiga bulan aku disana cukup banyak untuk dinukilkan dan diambil pengajaran buat diriku. Aku ‘dipaksa’ terjun ke medan muda-mudi zaman kini yang berbagai latar belakang tanpa mengira kaum. Barulah aku tahu situasi sebenar masyarakat, umat Islam generasi sebayaku.

          Terkejut dan kecewa dengan situasi yang kuhadapi, aku mesti mengubahnya! For things to change I must change first! Sememangnya sedikit perasaan kurang selesa aku alami ketika bergaul dengan sebilangan teman-temanku se’kem’, mana tidaknya atmosfera aku berbeza sebelum ini. Bergelar lepasan ‘Anak Bumi Waqafan’ aku mesti cuba terdaya untuk mengubah. Baru aku tahu sebenarnya nikmat menjadi anak Bumi Waqafan ketika ini. Setidaknya situasi yang kualami memaksa aku untuk menjadi rakan yang menasihati dan membimbing, aku belajar menjadi daie. Sekalung terima kasih kuucapkan pada Cikgu Nasrizal, Salleh, Umar, Syed, Amir dan lain-lain yang bersama berganding bahu dalam tugas ini. Banyak aku belajar dari kalian.

          Tidak tergambar kesulitan yang kualami dalam warkah yang ini, biarlah ia menjadi ingatan sepanjang zaman. Semangat aku yang down sebagai daie terasa terpanggil semula ketika bertemu dengan Afiq Hizamie di Kem TLDM, Lumut. Pelukkan teman seangkatan di Blok Omar mengembalikan semangat aku untuk terus menjadi daie dalam masa tidak sampai sebulan lagi. Bagiku, rakan-rakan di Bumi Waqafan, kalian wajib terpilih ke kem itu baru kalian merasa erti ‘turun padang’. Itulah yang aku belajar, apabila keadaan memaksa, kita mesti memaksa diri untuk melakukannya walaupun sukar dan tidak biasa, itupun kalau kita rasa bertanggungjawab.

          Dengan pakaian seragam PLKN aku bersama keluarga ke Klang untuk bersama menantikan detik SPM diumumkan. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Aku bersyukur atas kejayaan yang diberi. Hatiku semakin bersemangat untuk menimba ilmu apabila aku melihat mata emak dan abah ku berair tanda gembira tatkala melihat slip keputusanku. Tidak ada lagi kepuasan bagi seorang anak apabila berjaya menggembirakan kedua ibu-bapanya. Ya Allah, pasti hatiku sebak apabila mengenangkan detik gembira ini. Apakah ia juga rezekiku pada masa-masa akan datang? Moga-moga segala urusanku dipermudahkan.

          Perjalanan diteruskan lagi. Aku mendaftar di INTEC, Uitm pula. Doaku untuk meneruskan pengajian dalam Iqtisad Islami dikabulkan. Persediaan tiga bulan disini cukup bermakna bagiku. Walaupun pendek, tapi kurasakan ibarat setahun aku disitu. Pasti tidak kulupakan hidupku di INTEC. Diri ini kulatih menjadi tidak ­exam oriented. Paling aku suka ialah belajar Islamic Banking dengan Prof. Ramawan. Walaupun kadang-kadang tidak faham, dari situ timbul sifat ingin tahu, maka aku semakin minat dengan bidangku. Umar Chapra Jr. , Ust.Zaharuddin in future menjadi doa rakan-rakan, terima kasih sahabat-sahabat MEC01!! Kadang-kadang hati menjadi sebak bila teringat kelas itu ditinggalkan.


          Pengisian ilmu di INTEC amat memuaskan aku. Terima kasih Ust. Redha atas tunjuk ajar yang tidak pernah jemu dan keringatmu yang tidak pernah kenal erti penat. Kata-katamu “Hanya orang yang sibuk je yang ade masa” menjadi azimatku untuk menyibukkan diri di Yarmouk. Pelbagai ilmu yang ku pelajari, dari isu kalimah Allah, Judi Bola, Dinar Emas, Syoknya Kahwin sampailah tazkirah Ramadhan sebelum aku berangkat. Pesanmu “kuasai Usul Fiqh” menjadikan aku makin bersemangat disini. Tiga bulan di INTEC cukup terisi rasanya. Aku yakin setiap hari, pasti aku belajar sesuatu yang baru sama ada di kelas mahupun ketika daurah ilmu.           

          Masa terus berjalan tanpa mampu ditahan mahupun sesaat. Itulah lumrah kehidupan. Tidak pernah sekali-kali masa menunggu manusia. Saat-saat terakhir sebelum berangkat, ku isi dengan membaca buku-buku yang bakal ku tinggalkan sendirian dibilikku selama empat tahun. Catatan isi penting juga aku buat moga-moga intipatinya dapat sentiasa ku amalkan.

          Perasaan bercampur baur tatkala menunggu hari-hari untuk berangkat. Keakraban bersama keluarga tercinta saat terakhir di KLIA kusematkan kukuh dihati. Lafaz pesanan terakhir emak dan tepukan semangat abah masih segar dalam memori. Meskipun jauh, tapi kurasakan dekat. Maka, sampailah aku ke Dataran Syam yang diberkati, Jordan. Sekali lagi, doaku untuk menjejakkan kaki disini dikabulkan Allah. Hanya lafaz syukur yang mampu kuucapkan atas nikmat-Nya yang tidak terhitung.

          Ku selitkan secebis pengalaman di Irbid, bumi yang bakal kudiami lagi empat tahun. Sekejap je rasanya dah masuk bulan keempat. Pantas benar masa berlalu. Langkah dimulakan dengan azam dan strategi yang rapi. Begin with end in mind, cuba tinggal untuk dilaksanakan. Disinilah perlunya Mujahadah. Tanpa Mujahadah tiada nilai lah strategi yang diatur. 

          AJK Persegaran?! Kuharungi dengan sabar dan tabah bagi menjayakan Program Gempur MMY. Krisis hanya mendedahkan sikap, kamu perlu lebih banyak belajar untuk sabar! Eh, kamu perasan tak, semakin sibuk semakin banyak masa? semakin rajin sentuh buku...Maka tepatlah, hanya orang yang sibuk sahaja yang punyai masa. Saat kita kesempitan baru tahu erti masa lapang, baru tahu betapa mahalnya harga sesaat! Bertindih tugas perlu kepada Aulawiyat, gagal memlilih aulawiyat bermakna matlamat tidak jelas, masih kabur.

          Acara terakhir ialah mentasjil subjek semesta kedua. Sekali lagi kesabaran diuji. Ingat, apabila meminta yang terbaik daripada Allah, maka tawakal kepada-Nya menjadi kunci kesabaran. Yakinlah segala yang ditentukan adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Bukankah Dia yang mencipta kamu? Alhamdulillah, kegelisahan pada awal pentasjilan diakhiri dengan kesyukuran. Ya Allah, bantulah aku untuk menghadapi cabaran pada semesta seterusnya. Ingat!! Belajar untuk kefahaman no.1, tapi score muaddal bukan no.2!

          Ku simpulkan warakah ini dengan harapan yang lahir dari hati: Sekiranya diberi peluang untuk kembalikan masa, pasti kupinta agar dikembalikan aku menjadi anak didik Bumi Waqafan. Sedikit kekesalan kerana peluang tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadi hamba Allah yang luar biasa. Tapi Allah Maha Adil, diberinya kamu peluang kedua. Peluang untuk menjadi tetamunya di Dataran Mulia ini, peluang menjadi penuntut ilmu di perantauan di Bumi bertuah ini. Maka, jangan kamu ulangi kekesalan itu. Gunakan setiap detik yang ada sepenuhnya. Luruskan niat menuntut ilmu kerana Allah. Ingatlah peluang seperti ini tidak datang dua kali!!

Wahai generasi dengarlah pesanan ini,
Bumi ini bumi bertuah;
Suburnya sesubur tanaman dilembah,
Melahirkan insan berjiwa tabah.

Kutiplah mutiara-mutiara indah,
Untuk bekalan diri berpindah;
Sebelum jejak kaki melangkah,
Sebelum penyesalan membawa padah.

( Rintihan Kalbu - Soutul mujahidin )
 
          Tirai 2010 ditutup dengan seribu kesyukuran dan sejuta harapan. Kuatkan diriku ini Ya Allah.


Sunday, December 5, 2010

Jom Berhijrah! Tapi macam mana?



Setiap perjalanan memerlukan perancangan. Life is a journey, nak berjaya dalam ‘journey’ mesti ada perancangan hidup. Perancangan melibatkan strategi-strategi agar matlamatnya jelas terpapar di depan mata. Yakinlah, langkahmu selepas itu pasti bermakna dan menjadi ibadah kepada-Nya.

(Nasihat Ustaz Hasrizal dalam bukunya Rindunya Bau Pohon Tin)
  1. Peperangan harus terancang. Begin with the End in Mind, adalah satu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya cipaan Allah. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluk Allah yang istimewa, dan kembara di bumi Anbiya ini adalah untuk mencari keistimewaan itu. Menjadi pewaris Anbiya bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dengan ayat-ayat Allah dan pesanan-pesanan tadi, ibarat menggenggam bara api biar sampai menjadi arang.
  2. Peperangan harus ada kemahiran. Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini. Kata bijak pandai, "Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik.”
  3. Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnahtullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para anbiya, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.-
Amat mendalam maksudnya bagi yang mengerti. Hidup ini ibarat peperangan, peperangan penuh dengan muslihat,nak menang dalam berperang mesti pelbagai teknik dan tektik digunapakai. Tidak hairanlah banyak individu hebat dalam sejarah dunia adalah mereka yang pakar perang! Lihat sahaja Adolf Hitler, Benito Mussolini, dan Winston Churchill. Walaupun mereka antara pencetus Perang Dunia ke-2, tapi disebalik itu mereka memiliki peribadi yang hebat. Kajilah latar belakang mereka dan ambillah peribadi mereka yang hebat itu! Bahkan Luiz Felipe Scolari, menjadi jurulatih pertama yang memenangi perlawanan dalam World Cup sebanyak 12 kali berturut-turut (7 kali bersama Brazil ’02 dan 5 kali bersama Portugal ’06) juga adalah pakar perang! Beliau mengaplikasikan konsep perang China iaitu The Art of War yang dipopularkan oleh Sun Tzu dalam bola sepak.

Itulah pentingnya strategi dalam setiap urusan. Tanpa strategi, anggap sahaja hidupmu kabur dan terumbang-ambing. Boleh jadi kamu menempah kegagalan dalam hidup. Strategi, inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah ketika peristiwa Hijrah. Mari kita teliti strategi-strategi Rasullullah ketika berhijrah yang banyak direkodkan dalam kitab-kitab sejarah:-                                                                                               http://dakwah.info/seerah-nabawiyah/hijrah-rasulullah-s-a-w/ http://nukilansiswa.blogspot.com/2010/05/di-sebalik-tabir-hijrah-rasulullah.html 
  
Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi SAW menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah. Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

          Lantas, sepatutnya umat Islam mencontohi Baginda menjadi umat kelas pertama yang menguasai bukan sahaja keduadua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa bersaing dan mencabar ini.

          Strategi, tanpa strategi yang teratur dan sistematik apakah mampu Yahudi menakluk dunia? Dari sebangsa yang diusir kehulu kehilir, kemudiannya berpecah ke seluruh pelusuk dunia tanpa negara. Akhirnya ‘berjaya’ membuka negara malah menjadi raja kepada dunia. Sudah banyak ku lihat dan baca segala konspirasi Yahudi ini. Cengkaman mereka menyeluruh baik percaturan politik di negara-negara dunia, penipuan ekonomi melalui Federal Reserve Bank’ Amerika Syarikat (FED) dan akhlak mada-mudi yang berjaya dirosakkan. Apakah semua konspirasi ini tanpa strategi? 
Klik ini :
http://majinn.blogspot.com/2009/01/sumbangan-cerdik-pandai-yahudi-kepada.html
(Pernah tersiar dalam surat khabar Utusan dulu, tak ingat pulak tarikhnya)
             
          Selamat menyambut Maal Hijrah 1432H. Ambillah pengajaran daripada sejarah. Bukanlah sejarah andai hanya tahu fakta semata-mata.  Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.  

          Banyak pengajaran daripadanya. Post kali ini hanya menekankan keperluan dan kepentingan berstrategi dalam menempuh rimba duniawi. Contohilah Rasulullah yang begitu teratur dan berstrategi dalam setiap tindakan baginda.  Strategi yang begitu rapi ini membuahkan hasil yang cukup besar kepada Islam. Hijrah adalah titik permulaan kepada Islam untuk terus bersinar di muka bumi. Titik permulaan ini adalah berasaskan perancangan yang kemas, maka hiduplah dengan berSTRATEGI agar kamu bersinar demi agama yang tercinta!   


Friday, November 26, 2010

Empat oh empat

Pernah ditulis oleh Prof. Dr. Hamka (Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah) dalam bukunya “Lembaga Budi”.

Empat perkara yang menimbulkan cinta: Muka jernih,ringan tangan, mencari persesuaian, sama di mulut dengan di hati.
                Empat perkara alamat budiman: Menjauhi cakap kosong, menjauhkan tangan dari mengganggu, cepat memberikan penghargaaan, lambat baru menjatuhkan tuduhan.
                Empat perkara alamat durjana: Membuka rahsia kawan, memungkiri janji, mempergunjingkan orang, menyakiti tetangga.
                Empat perkara alamat iman: Pandai menutupi kemiskinan, redha dengan penghasilan yang sedikit, terpelihara lidah dari berkata-kata, suka berbuat baik.
                Empat hilang kerana empat: Hilang hikmat kerana tidak syukur, hilang kekuatan kerana mencari musuh, hilang kekuasaan kerana kelalaian, hilang kesempatan kerana memandang enteng.
                Empat macam perkara dipantangkan oleh empat macam orang: Perkara kecil bagi orang yang berjiwa besar, mendorong-dorong bagi orang yang tahu harga diri, berbuat sewenang-wenang bagi orang yang mengenang masa depan.
                Empat macam kepada empat: Mengunci mulut membawa selamat, berbuat baik membawa kepada kemuliaan, menolong orang yang lemah membawa kepada tempat pimpinan, mensyukuri nikmat membawa kepada tambahan nikmat.
                Empat dikenal dengan empat: Pengarang kerana karangannya, orang alim kerana jawabnya, orang bijaksana kerana perbuatannya, orang yang tabah kerana kesanggupannya bertahan.
                Empat perkara alamat bodoh: Berteman dengan orang bodoh, banyak perbuatan berlebih-lebihan, tak dapat mengunci rahsia, memandang enteng kebaikan orang.
                Empat perkara menunjukkan akal: Menyukai ilmu pengetahuan, tenang sikapnya, tepat jawabnya, banyak benarnya.
                Empat perkara yang menunjukkan orang yang tak dapat diberi tanggungjawab: kacau takbirnya(takwil), keji turutnya, sedikit iktibarnya, banyak sombongnya.
                Empat perkara menunjukkan seorang ahli siasat: Tak berubah air mukannya kerana kritik, tajam matanya melihat kesempatan, dapat memilih pendapat yang berbeza-beza, senyum mukanya berhadapan dengan lawan.
                Empat sempurna kerana empat: Sempurna ilmu kerana amal, sempurna agama kerana taqwa, sempurna amal kerana niat, sempurna kehormatan diri kerana pengaruh (wibawa).
                Empat tak dapat dipisahkan dari empat: Rakyat tak dapat dipisahkan dari politik, tentera tak dapat dipisahkan dari pimpinan, suatu pendapat tak dapat dipisahkan dari musyawarah, suatu azam tak dapat dipisahkan dari istikharah.




(Prof. Dr. HAMKA merupakan salah seorang ulama serba boleh - tokoh pendakwah yang disegani di Nusantara, juga bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik. Beliau juga seorang pujangga ulung dan ahli fikir Islam tersohor dan juga ahli politik berkaliber.)

Sunday, November 14, 2010

Hari Edul Adha – Apa yang perlu dikorbankan?


            Umum mengetahui sambutan Edul Adha merupakan temasya terbesar dalam diari umat Islam.    Perkara utama yang ingin dikongsikan dalam post kali ini ialah tentang erti sebenar pengorbanan. Mari kita teliti dan memperhalusi makna sebenar kalimah ‘korban’ yang diperintahkan oleh Allah. Apakah korban semata-mata pada unta, lembu mahupun kambing? Apakah maksud tersirat disebalik temasya yang agung tersebut?

            Kita singkap kembali tabir sejarah manusia bermula dari zaman Nabi Adam A.S.  Inilah detik pertama ujian ‘korban’ Allah kepada hamba-Nya. Tatkala manusia masih baru dicipta, Allah S.W.T memerintahkan anak-anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil untuk ber’korban’ hasil kerja mereka. Habil merupakan penternak dan menyediakan ternakan-ternakan yang gemuk dan sihat sebagai ‘korban’nya kepada Allah. Manakala, Qabil yang merupakan petani menyediakan tanaman-tanaman yang rosak dan rendah kualitinya kepada Allah. Maka, manakah korban yang diterima oleh Allah? Semestinya Allah menerima korban yang tulus ikhlas daripada Habil. Firman Allah dalam Surah al-Maidah : 27 :
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ ﴿٢٧﴾
[27] Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;"

            Kita lihat lembaran sirah Nabi Ibrahim berkaitan dengan topik perbincangan iaitu ‘korban’. Allah merakamkan kisah ini dalam Surah as-Shaffat ayat 102-111 yang bermaksud :
 [102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. [103 ] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), [104] Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! [105] “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. [106] Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; [107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; [108] Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: [109] “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. [110] Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. [111]Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

            Inilah ujian korban yang diperintahkan Allah kepada baginda. Apakah mudah untuk menyembelih anak sendiri yang amat dicintai? Bahkan, baginda sering memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh, “ Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang saleh" (Q.S>37:100). Setelah berumur 100 tahun, barulah Allah memperkenankan doa baginda. Belumpun sempat Nabi Ismail membesar dewasa, datang perintah korban kepadanya. Namun, hanya keikhlasan, ketaqwaan dan keyakinan yang jazam kepada Allah sahaja membantu baginda menyempurnakan perintah ini.

            Begitu juga perihalnya pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Sepertimana firman Allah dalam Surah al-Kauthar :
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ ﴿٣﴾
[1]Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). [2] Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). [3] Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)
            Sembelihan yang dilakukan oleh hamba-Nya adalah tanda syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat kurniaan Allah. Sekali lagi, hanya hati yang benar-benar ikhlas sahaja yang sanggup berkorban apa sahaja demi membuktikan rasa cintanya kepada Pencipta Cinta. Tidak cukup hanya dengan menumbangkan haiwan al-an’am pada Hari Edul Adha sudah bermakna kita sudah berkorban. Penegasan Allah dalam Surah al-Hajj : 37 : "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah tapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya" Perngorbanan yang dituntut ialah mujahadah dalam segenap aspek termasuk hati, akal, nafsu, harta, wanita , pangkat dan lain-lain. Begitulah tema blog ini, “Mujahadah Sang Hati”.

            Wahai hamba Allah yang budiman, apakah titik persamaan yang tersirat daripada sorotan Sirah-sirah berkisar ‘korban’ yang Allah nukilkan dalam kalam-Nya yang Mulia? Tidak lain adalah peringatan Allah kepada hamba-hamba-Nya untuk berfikir tentang hakikat nikmat-nikmat di dunia yang sementara!  Allah perintahkan ‘korban’ agar hambanya sentiasa ingat bahawa Akhirat itu adalah destinasi mereka yang sebenar.

            Ingatlah empunya Jiwa, dunia ini tak akan pernah mendatangkan kebahagian yang mutlak. Manusia yang memburu kepuasan dengan dunia semata-mata pasti tidak pernah merasa puas, bahkan semakin meminta. Mungkin analogi yang paling sesuai ialah “Ibarat seorang haus yang meminum air laut, semakin diminum akan semakin mendatangkan rasa dahaga”. Maka, ingatlah wahai Si Hamba, semakin kamu memburu dunia semakin belum pernah kamu merasa nikmatnya. Akhirnya kamu cenderung untuk mencari nikmat-nikmat yang Allah larang. Saat itu kita lupa segalanya, kita lupa akan kebesaran dan keagungan Allah. Pandangan kita kabur dengan nikmat Allah yang menggunung, kita tenggelam di lautan dunia lantas kurnian-kurnian tersebut didustakan demi kepentingan diri sendiri. Allah menegaskan hal ini:
Sesunggunya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (pengingkarannya). Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta” (al ‘Aadiyat: 6-8).



              Mari kita renungi nasihat berguna daripada Syeikh Mufti Taqi Uthmani, iaitu antara ulama top 5 dalam dunia berkenaan hal ehwal kewangan, "The similitude of this world is that of water, and the similitude of man is that of a boat. Just like a boat cannot move on without water, man cannot stay alive without this world and its provisions. Well, as far as the water and the boat are concerned the water benefits the boat only as long as it surrounds the boat, as long as it supports the boat. But once water enters the boat it will be no longer of benefit. It will rather destroy the boat, causing it to sink.” (Diambil dari artikel tulisannya bertajuk “ Islam and Modern Economic Issues ” ). Renungkan dan fikirkan kembali!

             Begitulah analogi perbandingan manusia dengan alam. Tidah dapat dinafikan akan kepentingan alam bagi kelancaran kehidupan manusia. Bahkan, tanpa dunia tiadalah kehidupan bagi manusia. Maka, sebab itu Allah menurunkan Nabi Adam ke dunia. Pastinya manusia tidak dapat hidup tanpa dunia. Namun, dunia hanya bermanfaat jika ia digunakan seiring dengan keperluan manusia sepertimana manfaat air untuk mengapungkan kapal. Tetapi, andai kata air itu masuk ke dalam kapal, maka rosak dan tenggelamlah kapal tersebut. Begitu juga perbandingannya dengan alam. Dunia, jika masuk ke dalam hati manusia, maka rosak dan binasalah hamba Allah itu! 

             Suatu hari, Rasulullah SAW melewati sebuah bangkai kambing yang tergeletak di tanah, lalu beliau bersabda, "Tidakkah kalian lihat betapa hinanya bangkai ini?". Para sahabat menjawab, "Karena hina itulah pemiliknya membuangnya, wahai Rasulullah." Kemudian beliau bersumpah, "Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sungguh dunia lebih hina di mata Allah daripada bangkai kambing ini. Andaikan dunia setara dengan sayap nyamuk saja, nescaya orang kafir takkan diberi minum." (HR. Ibnu Majah, Hakim, Tirmidzi)

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air

Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada, ditangkap hilang
Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku

Kerana disitu tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintamu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yg kubunuh

-Antara Dua Cinta, Raihan-
           
             Sesungguhnya, akhlak Rasulullah adalah yang terbaik. Baginda adalah ikon kita, perbagai peribadi mulia baginda telah kita ketahui, tetapi apakah kita memahami? Tahu dan faham berbeza darjatnya. Tahu pada akal, tetapi faham pada hati. Kadang kala sebulan dapur baginda tidak berasap, baginda beribadah sampai bengkak buku lali. Kadangkala waktu pagi Rasulullah bertanya sarapan kepada Aishah. Jawab Aishah, “ Tiada sarapan pagi ini Ya Rasulullah.” Nabi membalas, “ Tidak mengapa wahai Aishah, aku berpuasa.” Inilah kehidupan Kekasih Allah! Apakah baginda tidak mampu untuk hidup senang? Jauh sekali, bahkan Rasulullah adalah Ketua Negara Islam, baginda juga seorang peniaga yang berjaya.

               Rasulullah adalah ikutan kita. Nabi sudah payah untuk kita senang, Nabi bengkak kaki beribadah tetapi kita tidak sampai ke tahap demikian. Nabi berlapar tapi kita kenyang, nabi tidur tidak cukup tapi kita tidur nyenyak. Semua yang nabi buat adalah untuk kita, Ya! Semata-mata untuk umatnya yang amat dicintainya. Tapi, apakah begitu cinta kita pada Rasulullah. Wahai umat Muhammad, Nabi kita tidak pernah berkata, “Kamu kena beribadah sehingga bengkak kaki” ataupun “ Kamu perlu hidup susah payah sebagaimana aku” Namun, disebalik akhlak Nabi yang diteladani, seolah-olah Nabi berkata, “Kamu tidak perlu hidup payah sebagaimana aku. Bahkan kamu boleh hidup senang, mewah. Tapi ingat, Aku miskin sebab nak tunjuk kepada kamu bahawa yang penting adalah disana, bukan disini. Yang penting ialah hidup kita di Akhirat. Jika kamu segak disini, tetapi jangan kamu hodoh disana! Jika kamu mulia disini, tetapi jangan kamu hina disana! Jika kamu mewah disini, tetapi jangan kamu miskin disana! Jika kamu megah disini, tetapi jangan kamu terhumban disana!” Perhatikanlah maksud Rasulullah ini, moga-moga kita diberi taufik dan hidayah daripada Allah.

               Begitulah erti ‘korban’ yang sebenarnya iaitu pengorbanan Hati, Akal dan Jasad. Berkorban segalanya demi menjunjung Syariat Allah. Pengorbanan Sang Hati adalah membimbing Akal dan Jasadnya daripada dicengkam maksiat, nafsu syahwat dan cinta kepada dunia yang melebihi cinta kepada akhirat. Pengorbanan Akal adalah dengan menangkis pelbagai serangan pemikiran (qhazwah al-fikr) seperti pluralism, liberalism serta tidak materialistik. Manakala, pengorbanan Jasad pula menjalankan perintah Allah iaitu amal makruf dan nahi mungkar. Apakah cukup pengorbanan kita selama ini? Tepuk dada tanya amal.




Thursday, October 28, 2010

Cerita Amman 1( Western Union )


Setelah hampir sebulan berada di Irbid, tibalah masa untuk keluar ke Amman. Kali pertama pergi ke ‘KL’ Jordan ini amat menggembirakan apatah lagi kerana hendak menukar traveler cheques yang ada. Jadi YB la balik nanti.

            Dalam perjananan ke Amman aku melihat sekeliling termasuklah lebuhraya yang ada, kenapa takde tol ala-ala PLUS? Biarlah Negara orang buat ape nak menyebuk. Dalam jadi pemerhati tu, aku rasa boleh tahan juga la pembangunan di Jordan nih. Ada satu kisah yang memanaskan telinga pelajar-pelajar tahun satu yang baru sampai di bumi Irbid, Jordan. Semasa beberapa orang sahabat aku sedang bersiar-siar di Universiti Yarmouk, tetiba pulak adalah berlaku sedikit perbualan. Kata Si Arab nih, “ Welcome to 30 years future of your country!” Amboi, kasarnya bahasa. Agaknya dia belum pernah pergi Malaysia kot. Ada sebilangan daripada orang Arab ini ( aku rasa mungkin lebih dari separuh kot ) lebih mengenali Indonesia dari Malaysia, kenapa ek? Mungkin kelebihan Indonesia pada aspek-aspek tertentu atau pun kelemahan Malaysia? kome pikio le sendiri! Xpaham?! Tu Orang Perak cakap..Kedah pulak hampa pikia’ sendiri noh.

Destinasi pertama kami ialah Mecca Mall. Disinilah kami pergi ke Western Union untuk melakukan pertukaran matawang. Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang ada pada tanganku. Tak pernah aku memegang wang sebanyak ini. Dah la dalam JD, kalu ditukar kepada RM darab lah dengan 4.3. Aku amat bersyukur kepada Allah dengan nikmat dan peluang yang diberikan. Ingat! Ini adalah amanah langsung dari Allah. Semestinya setiap JD yang digunakan bahkan setiap kersy pasti akan ditanya kelak pada hari mulut manusia dikunci. Jadi beringatlah kamu dan sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang dibuat. Jangan pula berbahagia di sini dan berduka di sana nanti...

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ   
36 (Yaasin)/ 65. Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.

Begitu juga kisah Imam Al-Ghazali yang diriwayatkan :-
            Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka -Teki ).Salah satu daripada 6 soalan yang ditanya ialah :-
'IMAM GHAZALI' Apa yang paling berat didunia?
'Murid 1 = ' Baja
'Murid 2 = ' Besi
'Murid 3 = ' Gajah
'Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.
            
            Teringat aku satu kisah syahdu yang diceritakan oleh Ustaz Rujhan dalam ceramahnya. Ceritanya begini tentang seorang suami dan ayah yang cukup bertanggungjawab dan hamba yang bersyukur. Dia tabah mencari rezeki Allah walaupun dengan bersusah payah. Sebulan gajinya tidaklah banyak, sekadar menyara keperluan yang perlu cukuplah dia mampu. Apa yang mengharukan ialah amalannya kepada ALLAH yang sepatutnya dicontohi. Setiap bulan setelah menerima kadar upahnya, Si Ayah akan ke masjid dan sujud syukur kepada Allah, “ Ya ALLAH, aku bersyukur kepadamu dengan nikmat dan rezeki ini. Dengan rezeki peberianmu ini dapatlah aku menyara kehidupan keluargaku. Dengan rezeki-Mu ini dapatlah aku menjalankan tanggungjawabku sebagai ketua keluargaku dan hamba-Mu Ya Allah” Lantas Si Ayah mencium helaian-helaian wang satu demi satu. Aku berfikir sejenak, kalaulah Si Hamba ini yang dikurniakan rezeki sebegitu pun hebat nilai kesyukurannya, inikan aku sebagai Hamba yang tidak terhitung mendapat nikmat daripada Allah. Apakah aku bersyukur? Dan kalau bersyukur apakaha hanya dengan mulut?  

Cerita Amman 2 ( Perbincangan Kewangan Islam )


            Hari ini cukup bertuah dan bermakna. Sebilangan pelajar Malaysia University Yarmouk berpeluang menghadiri Seminar Kewangan Islam di Amman hasil kerjasama BNM, Bank Negara Jordan dan Islamic Development Bank. Antara wakil Malaysia yang turut memeriahkan suasana ialah wakil BNM dan CIMB.

            Seminar ini berkisarkan mengenai “Islamic Finance : Structure and Instruments”. Mujurlah bahasa pengantaranya ialah English, tak lah aku terkapai-kapai nak memahaminya ( Kuasai B.Arab secepat dan semahir mungkin!). Antara perkara-perkara yang didiskusikan yang masih kuingat ialah tentang economic global crisis, kelebihan Kewangan Islam, kes subprime di USA dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Kewangan Islam.

            Yang paling aku faham rasanya tentang kes subprime­ di USA. Kes inilah yang menjadi punca segalanya yang mengheret satu dunia ke kancah kemelesetan ekonomi tahun 2008 yang lalu (sila rujuk http://www.zaharuddin.net/hal-ehwal-riba/759-krisis-ekonomi-us--gambaran-ulasan-a-pandangan-islam.html ). Risalah Ustaz Zaharuddin inilah yang jadi bahan aku untuk ber’tazkirah’ di sekolah dulu dan membentang tajuk ‘kapitalisme’ pada Minggu Fikriah 2009..isme jugak tuh. Secara tak langsung, pemahaman ini membantu aku memahami secara keseluruhan perbincangan hari ini.

            Sebenarnya, aku memasang azam untuk bertanya soalan kepada ahli panel. Biarlah ape orang kata, janji hatiku puas dapat berinteraksi dengan barisan Doktor dan Prof. ekonomi. Aku memerhatikan dan mengkaji setiap butir perkataan ahli panel. Konklusinya, ada dua perkara yang membuatkan aku semakin bersemangat untuk bertanya iaitu :
1.      Pandangan seorang panel “ bring Conventional Bank to Islamic Standard”. Aku berfikir tentang hal ini. Tetiba je datang idea untuk tidak bersetuju dengan kenyataan nih..teringat la pulak assignment Ustaz Ramawan semasa di INTEC.
2.      Produk Murabahah yang menjadi kegemaran bank-bank Islam pada hal ia dikatakan “pintu belakang kepada Riba”…Nasib baik seorang peserta bertanya pasal Murabahah dan jawapan Prof. itu cukup memuaskan hati aku. Itu adalah hujah untuk aku dan rakan-rakan seangkatan menjawab kritikan tentang Murabahah kelak..Terima kasih Prof! Untuk menambah pengetahuan bersama, sila layari address ini bersama dan berfikir bersama, http://cyberita.asia1.com.sg/luarnegara/story/0,3617,134899,00.html?

                                                Beginilah seminar berlangsung
          
        
      Aku cuba huraikan tentang pandangan aku untuk soalan (1.) yang berjaya aku ajukan kepada ahli panel. Jawapan balas ahli panel tuh (wakil CIMB) bukanlah sebagaimana yang aku maksudkan. Mungkin kerana bahasa Inggerisku yang tunggang-langgang kot. Tak pe lah, apa pun aku dapat sesuatu yang baru dari beliau! B.Arab ialah bahasa ILMU, BI ialah bahasa KOMUNIKASI dan BM ialah bahasa Melayu..Jadi kenalah bersungguh-sungguh kuasai kesemuanya dan Jordan adalah medan yang terbaik..insya-ALLAH.

      Menurut penjelasan beliau yang ku fahami, semua perlaksanaan urusan berkaitan Skim Perbankan Islam (SPI) sama ada kepada bank yang mengamalkan full-fledge perbankan Islam mahupun yang membuka windows adalah dibawah pengawasan BNM dan Security Commission (SC). Maknanya tidak timbul percampuran antara produk-produk Islam dan konvensional atau dalam bahasa yang lebih transparent, bank yang ada SPI tidaklah Islamic pada nama tapi konvensional pada badan. Itulah kelebihan Malaysia kerana ada pengawasan ketat BNM dan SC tetapi tidak di Negara-negara Arab. Yang ini aku tak berani komen dan kena buat kajian lah dulu baru boleh tangan nih berkata-kata.

      Soalan aku ialah “Kalau Islamic standard dibawa ke dalam bank konvensional (CB), ia akan mengukuhkan fungsi CB lantas menarik lebih ramai pelanggan kerana bertambahnya variasi produk dan kaedah yang wujud sama ada HALAL dan HARAM. Kesan songsangnya pula, perkembangan Bank Islam (IB) akan terbantut kerana persaingan yang lebih sengit dengan CB.” Yang itu tersurat, maksud aku yang tersirat pulak..bank-bank yang asalnya CB dan membuka Islamic Windows adalah pembantut kepada perkembangan IB.

      Pada pendapat aku yang baru berjinak dalam bidang nih, sebabnya ialah walaupun CB amalkan Islamic Standard yang cuba memurnikan fungsinya sebagai bank tetapi kita kena lihat juga induknya dan major keuntungan yang CB peroleh. Siapa yang memegang CB? Tak perlulah disenaraikan CB yang wujud di Malaysia. Apakah orang di atas mahu menggunakan sepenuhnya cara perbankan Islam dan mengenepikan yang HARAM? Kalau tidak, bukankah perlaksanaan piawai tersebut hanya sia-sia dan tidak mencapai matlamat yang sebenarnya iaitu “Demi Ekonomi ISLAM Didaulatkan”. Selain itu, bertambahnya variasi produk CB akan menambahkan untung CB dan yang menikmati keuntungan HALAL dan HARAM itu tetap konvensional. Kita seolah-olah menambahkukuhkan rangka CB yang diakui hebat dan kukuh walaupun hakikatnya rapuh dan meruntuhkan rangka IB yang ibarat baru setahun jagung.  Kemudian, kalau yang untung itu tetap konvensional maka kemana pula manfaat duit itu akan digunakan? Sebenarnya ada lagi yang nak aku tambah, tapi kerana kurangnya pengetahuan untuk meng’link’kan proses dan operasi perbankan dan kewangan yang aku sendiri agak blurr dan kurangnya dalil dan bukti kukuh yang aku ada untuk post ini tidak dianggap sampah je, jadi aku memendekkan huraiannya.
       Lepas tamatnya sesi bersama ahli-ahli panel, kami dijemput untuk menjamu selera. Dalam dok beratur ala-ala budak hostel tetiba seorang ‘peserta’ seminar dari Bangladesh menegur aku, pompuan pulak tu. Sembang lah sikit-sikit dengan ‘beliau’ dan terpacullah soalan dari mulut aku nh “ You're presentative of what?” dengan muka selamba. Nak tau dia balas ape? Dia kata “ I’m Finance Minister of Bangladesh”…terdiam terus aku. Rupanya yang tegur aku tuh menteri! Terkunci la pulak mulut lepas tu..dah tamat majlis baru lah aku terfikir, kenapa lah tak tanya dia pasal Islamic Banking  kat Bangladesh. Terlepas satu lagi peluang emas. Moralnya, peluang emas depan mata guna sebaik mungkin sebab peluang macam tuh tak datang bergolek.

                          Mempublisitikan diri bersama Akh Soleh

Friday, October 22, 2010

Cerita Amman 3 ( ke kedai buku )


               Perjalanan diteruskan dengan matlamat ‘utama’ iaitu borong Kitab. Aku hanya mengikut senior-senior je untuk mencari pengalaman. Baru kali pertama melawat kedai buku takkan la nak sakan membeli. Walau begitu, matlamat dan visi mesti jelas. Aku  terut membawa helaian kertas yang dicatit nama-nama kitab yang ‘MESTI baca’ untuk aku men’survey’ nanti. Teringat pula aku ketika menulis senarai Kitab-kitab tersebut sewaktu di INTEC. Buku Ustaz Ghafar “Ekonomi dalam Perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah” menjadi sumber rujukan aku untuk mengenali nama-nama Kitab. Teringinnya aku untuk memiliki kesemuanya yang kutulis, “Kalaulah aku dapat Ya Allah…” bisik hatiku waktu itu. Alhamdulillah, hari ini aku berjaya memiliki sebahagian. Biarlah habis JD 98.25 asalkan aku dapat “bertaa’ruf” dengan rakan-rakan baru.

                Bukan mengembara di kedai ‘Dar Muhammad Dendis’ sahaja yang aku dapat hari ini. Malahan, secara tidak langsung aku belajar mengenali diri dan orang lain. Rancang dahulu sebelum beli barulah puas dan tidak menyesal nanti. Jangan beli masa terdesak tanpa bimbingan akal yang waras sepenuhnya. Nasib baik Akh Sahil nasihat aku agar buat tenang nak beli buku. Banyak lagi masa yang aku ada untuk memborong. Rasanya hampir JD 600 juga yang dihabiskan oleh kami di kedai ‘Dar Muhammad Dendis’ atau sekitar RM 2500. Memang memborong sakan. Akulah yang paling sikit membeli. Takpe, lain kali datang lagi.

                Sedar tak sedar kami dah terlewat satu jam lebih dari waktu yang dijanjikan dengan Abu Saif. Nasib baik tak naik angin Pak arab nih. Aku kagum dengan senior-senior yang cakap arab dengan Abu Saif. Macam orang Arab je. Yang aku pula duduk belakang je membisu seolah ada emas seketul dalam mulut. Jangan risau, rakaman perbualan mereka ada padaku. Kalu tak faham sekarang ape bende lah dewang cakap, aku boleh dengar balik. Usaha untuk belajar mesti ada! Aku pun boleh jadi macam mereka dan lebih lagi.

                Dalam perjalanan pulang, pelbagai perkara yang kami bualkan. Aku teringat kata hikmat Akh Soleh, senior aku di SMKASAS dan KISAS. “Muaddal itu penting untuk dicapai sebanyak mungkin tapi yang paling utama ialah PEMAHAMAN tentang subjek yang diambil. Nanti bila balik orang mesti tanya macam-macam. Pemahaman tu yang akan membantu" Akh Soleh mengingatkan kualiti yang paling dinilai untuk dapat kerja ialah cara komunikasi. So, start improve our Public Relation!

Nah! aku tunjukkan Kitab-kitab yang berjaya diborong...



Wednesday, September 15, 2010

Perjuangan bermula…Selamat menempuhinya..

        Warkah ini ditulis bersama semua perasaan yg kualami tika ini menanti detik 6.30 pagi, 18 September 2010. Satu pengembaraan dan perjuangan yang jauh lagi panjang. Jiwaku seakan-akan tidak sabar menanti detik yang penuh bermakna itu, syukur, gembira, syahdu dan sedih, semuanya berpadu menjadi satu. Ku ceritakan semuanya moga-moga menjadi senjata berharga mengiringiku di bumi Jordan nanti.

        Saat ini emak dan adikku hampir selesai mengupas ikan bilis untuk dibuat serunding buat bekalku di Irbid. Alif pula yg baru 3 tahun bermain-main keliling rumah, entah bila aku dapat berjumpa dengan Alif lagi. Anak Kak Zah yang mak aku jaga bakal berumur 7 tahun bila aku pulang kelak..insya-Allah.

        “ Faiz, tuntut ilmu sungguh-sungguh. Bukan senang dapat peluang macam ni. Dah tak payah fikir pe bende doh..belajar, belajar, belajar je..Alah 4 tahun je..sekejap je, tak payah balik la. Insya-Allah Ustaz pun bercadang nak ke Jordan belajar nanti. Doakan ye..dapat la jumpa dengan anta nanti..kalu tidak, jumpa kat syurga..insya-Allah,” teringat aku akan pesanan Ustaz Ridha yang membakar semangatku untuk menimba ilmu.
        “ Orang tuntut ilmu nih beruntung, sampaikan ikan-ikan di laut pun mendoakan..Doa tak terhijab..dah la musafir, puasa pulak lagi, memang nek terus la,” aku bersama Tahir mengangguk. Moga-moga kami dikurniakan kekuatan menuntut ilmu sebagaimana ulama-ulama silam yang sanggup berkorban apa sahaja. Detik-detik terakhir di INTEC itu benar-benar membuatkan aku berfikir panjang.

        Teringat pula aku pesanan Ustaz Sidik semasa melawat sekolahku, SMKA Sultan Azlan Shah bersama rakan-rakan lain yang turut ke Timur Tengah..
        “ Belajar sungguh-sungguh ye..alah bape tahun je, tak yah balek le, duduk sana tadah kitab,” semangatku terus membara dibakar oleh pesanan ustaz. Tidak kurang juga beberapa orang guru yang mendoakan, “ Oh, kamu la yang kata nak jadi Gabenor Bank dulu..mudah-mudahan,” baru aku teringat akan isi surat yang aku serah kepada pihak sekolah ketika memohon untuk menukar aliran Sastera ketika awal Tingkatan 4 dulu.

        Aku terus paparkan semua nasihat muallim dan muallimah yang mendidikku dan membentuk peribadiku. Jutaan terima kasih ku sampaikan kepada kalian. Hanya Allah yang mampu membalas jasa-jasa yang kalian taburkan pada jalan Allah.

        “ Duduk sana elok-elok, belajar betul-betul. Balik nanti boleh jadi macam Ustaz Zaharuddin,” itulah pesan Cikgu Kamisah dan Ustazah Yusalmah buat aku ketika pelajar INTEC melawat ke KISAS pada hari terakhir. Insya-Allah, itulah tujuanku ke menimba ilmu di sana, demi agama tercinta.

        “ Duduk sana sambil-sambil tu boleh la translate kitab sikit-sikit..ambek yang nipis-nipis pun takpe..tiap-tiap hari translate la dalam 2 helai, empat tahun kemudian banyak la nanti..orang Malaysia nh kurang sangat nk jadi penterjemah. Tengok Indonesia, kitab arab baru je publish, dewang dah siap translate dah, macam kitab Fiqh Jihad, Yusuf Qardhawi,” begitulah pesanan Dr. Ghafar kepada aku dan rakan-rakan MEC yang lain. Insya- Allah, tugasan ini pun kami pikul bersama..Rasanya ada lah dalam 7 buah kitab terjemahan bahasa Indonesia yang kami bawa bersama ke Irbid.
        “ Sebelum bertolak tu, tanam lah sebatang pokok, nanti bila balik nanti, tengok dah besar dah..nanti kalu segala macam makhluk hinggap, pahalanya kamu juga dapat,” menarik juga saranan Dr. Ghafar nh..emm, macam mana lah nasib pokok duku langsat aku nanti lepas 4 tahun.





        Ku ingat juga kata-kata PM Ramawan dan Ustaz Arshad kepada kelas MEC, Walaubagaimanapun, pesanan keramat emak dan abah adalah matlamat aku yang utama..belajar bersungguh-sungguh  dan mengubah nasib keluarga! Baiklah mak abah, abang berjanji dan Allah menjadi saksi atas segalanya.

        Buku ‘Rindu Bau Pohon Tin’ Ustaz Hasrizal menjadi kawan karibku..aku berazam nk bacanya ketika atas kapal terbang lusa..

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ 
( Hud : 112 )
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. 

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿0
( Al-‘Alaq : 1-5 )
[1]Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2]Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3]Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
[4]Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
[5]Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Inilah yang menjadi azimatku bagi menempuhi ranjau yang penuh madu dan duri kelak..Hanya kepada Allah aku berserah segalanya.

        Ku nukilkan kembali ungkapan-ungkapan dalam buku tersebut yang ku kira wajib dibaca oleh para penuntut ilmu terutama yang bakal ke bumi bertuah Jordan..

        Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar pelayar di perantauan, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang. Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.

        Peperangan harus terancang. Begin with the End in Mind, adalah satu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah.

        Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya cipaan Allah. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluk Allah yang istimewa, dan kembara di bumi Anbiya ini adalah untuk mencari keistimewaan itu. Menjadi pewaris Anbiya bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dengan ayat-ayat Allah dan pesanan-pesanan tadi, ibarat menggenggam bara api biar sampai menjadi arang.

        Peperangan harusa ada kemahiran. Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini. Kata bijak pandai, “Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik.”

        Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnahtullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para anbiya, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.




        Akhir kalam, Selamat memulakan perjuangan dan peperangan. Hanya ada dua pilihan di hadapan ala-ala ‘the road not taken’, hidup bererti menang atau gugur bererti syahid! Peperangan dalam erti kata mujahadah Si Akal mendidik pasangannya Nafsu bagi membentuk dan mencorak segumpal darah yang menjadi pertaruhan. Moga-moga ia menjadi ‘Qalbun Saleem’ untuk bertemu dengan Penciptanya yang kekal abadi. Rahmat, Keberkatan dan Pertolongan Allah mengiringi perjuanganmu…

( 15 September 2010 – 4:00 p.m )

Sunday, September 12, 2010

Permulaan mujahadah...hayatilah

Dunia Fatamorgana

Dunia,
Fitrah manusia ingin kesenangan,
Maka dikau memasang jerat,
Hakikatnya dirimu apalah punya,
Cuma sekadar fatamorgana.

Dirimu adalah pelengkap,
Umpama kapal belayar di lautan,
Tanpamu dunia, tiadalah kehidupan,
Engkau punya segala, pangkat, harta dan wanita.

Indah dunia yang mempersona,
Sedarlah duhai Sang Jiwa,
Ia hanya fatamorgana,
Dilihat dirasa seakan kitalah empunya,
Hanya sanya itu dusta semata.

Tapi Sang Jiwa,
Mengapa ia terus diburu?
Mengapa ia menjadi matlamatmu?
Mengapa begitu mudah engkau ditipu?
Ingatlah sabda Rasul Junjungan,
Sebelah sayap nyamuk lebih bernilai.

Dunia,
Hadirmu membawa sejuta erti,
Mematangkan jiwa membentuk peribadi,
Jangan sampai bertakhta di hati,
Umpama kapal dimasuki air,
Semakin penuh semakin gelong,
Akhirnya karam beransur-ansur.

Duhai dunia,
Dirimu guru dirimu jua hantu,
Dikau mendidik dikau jua memperdaya,
Dunia ibarat air laut,
Semakin diminum semakin dahaga,
Semakin dirasa semakin meminta.

Oh Manusia,
Akal dikurniakan padamu,
Berpadulah dengan hatimu,
Bersamalah memerangi hawa nafsu,
Menilai kehidupan dunia penuh berduri,
Agar berbahagia di daerah akhirat yang abadi.

( 8:52 am / 30.07.10 / MEC'10 )