Friday, December 31, 2010

2010 – Masa berlalu tidak akan kembali


          Tirai tahun 2010 bakal dilabuhkan beberapa detik lagi. 2011 pula bakal kutempuhi. Aku rasakan 2010 amat bermakna bagiku untuk kukenang sepanjang hidup, memori suka duka, tawa tangis silih berganti. Kuharapkan 2010 menjadi tahun yang kuingat sehingga ke akhir hayat selagi jasad dikandung badan, selagi nafas dihirup segar.

          Dimulai tabir 2010 dengan penuh debaran kerana menanti detik keputusan SPM’09 diumumkan. Cuti yang kusangka panjang, terpaksa dipendekkan kerana aku dikerah untuk berkhidmat untuk Negara, PLKN! Kem yang bermula pada 4 Januari sehinggalah sehari sebelum SPM diumumkan. Tiga bulan aku disana cukup banyak untuk dinukilkan dan diambil pengajaran buat diriku. Aku ‘dipaksa’ terjun ke medan muda-mudi zaman kini yang berbagai latar belakang tanpa mengira kaum. Barulah aku tahu situasi sebenar masyarakat, umat Islam generasi sebayaku.

          Terkejut dan kecewa dengan situasi yang kuhadapi, aku mesti mengubahnya! For things to change I must change first! Sememangnya sedikit perasaan kurang selesa aku alami ketika bergaul dengan sebilangan teman-temanku se’kem’, mana tidaknya atmosfera aku berbeza sebelum ini. Bergelar lepasan ‘Anak Bumi Waqafan’ aku mesti cuba terdaya untuk mengubah. Baru aku tahu sebenarnya nikmat menjadi anak Bumi Waqafan ketika ini. Setidaknya situasi yang kualami memaksa aku untuk menjadi rakan yang menasihati dan membimbing, aku belajar menjadi daie. Sekalung terima kasih kuucapkan pada Cikgu Nasrizal, Salleh, Umar, Syed, Amir dan lain-lain yang bersama berganding bahu dalam tugas ini. Banyak aku belajar dari kalian.

          Tidak tergambar kesulitan yang kualami dalam warkah yang ini, biarlah ia menjadi ingatan sepanjang zaman. Semangat aku yang down sebagai daie terasa terpanggil semula ketika bertemu dengan Afiq Hizamie di Kem TLDM, Lumut. Pelukkan teman seangkatan di Blok Omar mengembalikan semangat aku untuk terus menjadi daie dalam masa tidak sampai sebulan lagi. Bagiku, rakan-rakan di Bumi Waqafan, kalian wajib terpilih ke kem itu baru kalian merasa erti ‘turun padang’. Itulah yang aku belajar, apabila keadaan memaksa, kita mesti memaksa diri untuk melakukannya walaupun sukar dan tidak biasa, itupun kalau kita rasa bertanggungjawab.

          Dengan pakaian seragam PLKN aku bersama keluarga ke Klang untuk bersama menantikan detik SPM diumumkan. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Aku bersyukur atas kejayaan yang diberi. Hatiku semakin bersemangat untuk menimba ilmu apabila aku melihat mata emak dan abah ku berair tanda gembira tatkala melihat slip keputusanku. Tidak ada lagi kepuasan bagi seorang anak apabila berjaya menggembirakan kedua ibu-bapanya. Ya Allah, pasti hatiku sebak apabila mengenangkan detik gembira ini. Apakah ia juga rezekiku pada masa-masa akan datang? Moga-moga segala urusanku dipermudahkan.

          Perjalanan diteruskan lagi. Aku mendaftar di INTEC, Uitm pula. Doaku untuk meneruskan pengajian dalam Iqtisad Islami dikabulkan. Persediaan tiga bulan disini cukup bermakna bagiku. Walaupun pendek, tapi kurasakan ibarat setahun aku disitu. Pasti tidak kulupakan hidupku di INTEC. Diri ini kulatih menjadi tidak ­exam oriented. Paling aku suka ialah belajar Islamic Banking dengan Prof. Ramawan. Walaupun kadang-kadang tidak faham, dari situ timbul sifat ingin tahu, maka aku semakin minat dengan bidangku. Umar Chapra Jr. , Ust.Zaharuddin in future menjadi doa rakan-rakan, terima kasih sahabat-sahabat MEC01!! Kadang-kadang hati menjadi sebak bila teringat kelas itu ditinggalkan.


          Pengisian ilmu di INTEC amat memuaskan aku. Terima kasih Ust. Redha atas tunjuk ajar yang tidak pernah jemu dan keringatmu yang tidak pernah kenal erti penat. Kata-katamu “Hanya orang yang sibuk je yang ade masa” menjadi azimatku untuk menyibukkan diri di Yarmouk. Pelbagai ilmu yang ku pelajari, dari isu kalimah Allah, Judi Bola, Dinar Emas, Syoknya Kahwin sampailah tazkirah Ramadhan sebelum aku berangkat. Pesanmu “kuasai Usul Fiqh” menjadikan aku makin bersemangat disini. Tiga bulan di INTEC cukup terisi rasanya. Aku yakin setiap hari, pasti aku belajar sesuatu yang baru sama ada di kelas mahupun ketika daurah ilmu.           

          Masa terus berjalan tanpa mampu ditahan mahupun sesaat. Itulah lumrah kehidupan. Tidak pernah sekali-kali masa menunggu manusia. Saat-saat terakhir sebelum berangkat, ku isi dengan membaca buku-buku yang bakal ku tinggalkan sendirian dibilikku selama empat tahun. Catatan isi penting juga aku buat moga-moga intipatinya dapat sentiasa ku amalkan.

          Perasaan bercampur baur tatkala menunggu hari-hari untuk berangkat. Keakraban bersama keluarga tercinta saat terakhir di KLIA kusematkan kukuh dihati. Lafaz pesanan terakhir emak dan tepukan semangat abah masih segar dalam memori. Meskipun jauh, tapi kurasakan dekat. Maka, sampailah aku ke Dataran Syam yang diberkati, Jordan. Sekali lagi, doaku untuk menjejakkan kaki disini dikabulkan Allah. Hanya lafaz syukur yang mampu kuucapkan atas nikmat-Nya yang tidak terhitung.

          Ku selitkan secebis pengalaman di Irbid, bumi yang bakal kudiami lagi empat tahun. Sekejap je rasanya dah masuk bulan keempat. Pantas benar masa berlalu. Langkah dimulakan dengan azam dan strategi yang rapi. Begin with end in mind, cuba tinggal untuk dilaksanakan. Disinilah perlunya Mujahadah. Tanpa Mujahadah tiada nilai lah strategi yang diatur. 

          AJK Persegaran?! Kuharungi dengan sabar dan tabah bagi menjayakan Program Gempur MMY. Krisis hanya mendedahkan sikap, kamu perlu lebih banyak belajar untuk sabar! Eh, kamu perasan tak, semakin sibuk semakin banyak masa? semakin rajin sentuh buku...Maka tepatlah, hanya orang yang sibuk sahaja yang punyai masa. Saat kita kesempitan baru tahu erti masa lapang, baru tahu betapa mahalnya harga sesaat! Bertindih tugas perlu kepada Aulawiyat, gagal memlilih aulawiyat bermakna matlamat tidak jelas, masih kabur.

          Acara terakhir ialah mentasjil subjek semesta kedua. Sekali lagi kesabaran diuji. Ingat, apabila meminta yang terbaik daripada Allah, maka tawakal kepada-Nya menjadi kunci kesabaran. Yakinlah segala yang ditentukan adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Bukankah Dia yang mencipta kamu? Alhamdulillah, kegelisahan pada awal pentasjilan diakhiri dengan kesyukuran. Ya Allah, bantulah aku untuk menghadapi cabaran pada semesta seterusnya. Ingat!! Belajar untuk kefahaman no.1, tapi score muaddal bukan no.2!

          Ku simpulkan warakah ini dengan harapan yang lahir dari hati: Sekiranya diberi peluang untuk kembalikan masa, pasti kupinta agar dikembalikan aku menjadi anak didik Bumi Waqafan. Sedikit kekesalan kerana peluang tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadi hamba Allah yang luar biasa. Tapi Allah Maha Adil, diberinya kamu peluang kedua. Peluang untuk menjadi tetamunya di Dataran Mulia ini, peluang menjadi penuntut ilmu di perantauan di Bumi bertuah ini. Maka, jangan kamu ulangi kekesalan itu. Gunakan setiap detik yang ada sepenuhnya. Luruskan niat menuntut ilmu kerana Allah. Ingatlah peluang seperti ini tidak datang dua kali!!

Wahai generasi dengarlah pesanan ini,
Bumi ini bumi bertuah;
Suburnya sesubur tanaman dilembah,
Melahirkan insan berjiwa tabah.

Kutiplah mutiara-mutiara indah,
Untuk bekalan diri berpindah;
Sebelum jejak kaki melangkah,
Sebelum penyesalan membawa padah.

( Rintihan Kalbu - Soutul mujahidin )
 
          Tirai 2010 ditutup dengan seribu kesyukuran dan sejuta harapan. Kuatkan diriku ini Ya Allah.


1 comment: