Wednesday, September 15, 2010

Perjuangan bermula…Selamat menempuhinya..

        Warkah ini ditulis bersama semua perasaan yg kualami tika ini menanti detik 6.30 pagi, 18 September 2010. Satu pengembaraan dan perjuangan yang jauh lagi panjang. Jiwaku seakan-akan tidak sabar menanti detik yang penuh bermakna itu, syukur, gembira, syahdu dan sedih, semuanya berpadu menjadi satu. Ku ceritakan semuanya moga-moga menjadi senjata berharga mengiringiku di bumi Jordan nanti.

        Saat ini emak dan adikku hampir selesai mengupas ikan bilis untuk dibuat serunding buat bekalku di Irbid. Alif pula yg baru 3 tahun bermain-main keliling rumah, entah bila aku dapat berjumpa dengan Alif lagi. Anak Kak Zah yang mak aku jaga bakal berumur 7 tahun bila aku pulang kelak..insya-Allah.

        “ Faiz, tuntut ilmu sungguh-sungguh. Bukan senang dapat peluang macam ni. Dah tak payah fikir pe bende doh..belajar, belajar, belajar je..Alah 4 tahun je..sekejap je, tak payah balik la. Insya-Allah Ustaz pun bercadang nak ke Jordan belajar nanti. Doakan ye..dapat la jumpa dengan anta nanti..kalu tidak, jumpa kat syurga..insya-Allah,” teringat aku akan pesanan Ustaz Ridha yang membakar semangatku untuk menimba ilmu.
        “ Orang tuntut ilmu nih beruntung, sampaikan ikan-ikan di laut pun mendoakan..Doa tak terhijab..dah la musafir, puasa pulak lagi, memang nek terus la,” aku bersama Tahir mengangguk. Moga-moga kami dikurniakan kekuatan menuntut ilmu sebagaimana ulama-ulama silam yang sanggup berkorban apa sahaja. Detik-detik terakhir di INTEC itu benar-benar membuatkan aku berfikir panjang.

        Teringat pula aku pesanan Ustaz Sidik semasa melawat sekolahku, SMKA Sultan Azlan Shah bersama rakan-rakan lain yang turut ke Timur Tengah..
        “ Belajar sungguh-sungguh ye..alah bape tahun je, tak yah balek le, duduk sana tadah kitab,” semangatku terus membara dibakar oleh pesanan ustaz. Tidak kurang juga beberapa orang guru yang mendoakan, “ Oh, kamu la yang kata nak jadi Gabenor Bank dulu..mudah-mudahan,” baru aku teringat akan isi surat yang aku serah kepada pihak sekolah ketika memohon untuk menukar aliran Sastera ketika awal Tingkatan 4 dulu.

        Aku terus paparkan semua nasihat muallim dan muallimah yang mendidikku dan membentuk peribadiku. Jutaan terima kasih ku sampaikan kepada kalian. Hanya Allah yang mampu membalas jasa-jasa yang kalian taburkan pada jalan Allah.

        “ Duduk sana elok-elok, belajar betul-betul. Balik nanti boleh jadi macam Ustaz Zaharuddin,” itulah pesan Cikgu Kamisah dan Ustazah Yusalmah buat aku ketika pelajar INTEC melawat ke KISAS pada hari terakhir. Insya-Allah, itulah tujuanku ke menimba ilmu di sana, demi agama tercinta.

        “ Duduk sana sambil-sambil tu boleh la translate kitab sikit-sikit..ambek yang nipis-nipis pun takpe..tiap-tiap hari translate la dalam 2 helai, empat tahun kemudian banyak la nanti..orang Malaysia nh kurang sangat nk jadi penterjemah. Tengok Indonesia, kitab arab baru je publish, dewang dah siap translate dah, macam kitab Fiqh Jihad, Yusuf Qardhawi,” begitulah pesanan Dr. Ghafar kepada aku dan rakan-rakan MEC yang lain. Insya- Allah, tugasan ini pun kami pikul bersama..Rasanya ada lah dalam 7 buah kitab terjemahan bahasa Indonesia yang kami bawa bersama ke Irbid.
        “ Sebelum bertolak tu, tanam lah sebatang pokok, nanti bila balik nanti, tengok dah besar dah..nanti kalu segala macam makhluk hinggap, pahalanya kamu juga dapat,” menarik juga saranan Dr. Ghafar nh..emm, macam mana lah nasib pokok duku langsat aku nanti lepas 4 tahun.





        Ku ingat juga kata-kata PM Ramawan dan Ustaz Arshad kepada kelas MEC, Walaubagaimanapun, pesanan keramat emak dan abah adalah matlamat aku yang utama..belajar bersungguh-sungguh  dan mengubah nasib keluarga! Baiklah mak abah, abang berjanji dan Allah menjadi saksi atas segalanya.

        Buku ‘Rindu Bau Pohon Tin’ Ustaz Hasrizal menjadi kawan karibku..aku berazam nk bacanya ketika atas kapal terbang lusa..

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ 
( Hud : 112 )
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. 

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿0
( Al-‘Alaq : 1-5 )
[1]Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2]Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3]Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
[4]Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
[5]Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Inilah yang menjadi azimatku bagi menempuhi ranjau yang penuh madu dan duri kelak..Hanya kepada Allah aku berserah segalanya.

        Ku nukilkan kembali ungkapan-ungkapan dalam buku tersebut yang ku kira wajib dibaca oleh para penuntut ilmu terutama yang bakal ke bumi bertuah Jordan..

        Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar pelayar di perantauan, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang. Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.

        Peperangan harus terancang. Begin with the End in Mind, adalah satu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah.

        Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya cipaan Allah. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluk Allah yang istimewa, dan kembara di bumi Anbiya ini adalah untuk mencari keistimewaan itu. Menjadi pewaris Anbiya bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dengan ayat-ayat Allah dan pesanan-pesanan tadi, ibarat menggenggam bara api biar sampai menjadi arang.

        Peperangan harusa ada kemahiran. Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini. Kata bijak pandai, “Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik.”

        Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnahtullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para anbiya, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.




        Akhir kalam, Selamat memulakan perjuangan dan peperangan. Hanya ada dua pilihan di hadapan ala-ala ‘the road not taken’, hidup bererti menang atau gugur bererti syahid! Peperangan dalam erti kata mujahadah Si Akal mendidik pasangannya Nafsu bagi membentuk dan mencorak segumpal darah yang menjadi pertaruhan. Moga-moga ia menjadi ‘Qalbun Saleem’ untuk bertemu dengan Penciptanya yang kekal abadi. Rahmat, Keberkatan dan Pertolongan Allah mengiringi perjuanganmu…

( 15 September 2010 – 4:00 p.m )

Sunday, September 12, 2010

Permulaan mujahadah...hayatilah

Dunia Fatamorgana

Dunia,
Fitrah manusia ingin kesenangan,
Maka dikau memasang jerat,
Hakikatnya dirimu apalah punya,
Cuma sekadar fatamorgana.

Dirimu adalah pelengkap,
Umpama kapal belayar di lautan,
Tanpamu dunia, tiadalah kehidupan,
Engkau punya segala, pangkat, harta dan wanita.

Indah dunia yang mempersona,
Sedarlah duhai Sang Jiwa,
Ia hanya fatamorgana,
Dilihat dirasa seakan kitalah empunya,
Hanya sanya itu dusta semata.

Tapi Sang Jiwa,
Mengapa ia terus diburu?
Mengapa ia menjadi matlamatmu?
Mengapa begitu mudah engkau ditipu?
Ingatlah sabda Rasul Junjungan,
Sebelah sayap nyamuk lebih bernilai.

Dunia,
Hadirmu membawa sejuta erti,
Mematangkan jiwa membentuk peribadi,
Jangan sampai bertakhta di hati,
Umpama kapal dimasuki air,
Semakin penuh semakin gelong,
Akhirnya karam beransur-ansur.

Duhai dunia,
Dirimu guru dirimu jua hantu,
Dikau mendidik dikau jua memperdaya,
Dunia ibarat air laut,
Semakin diminum semakin dahaga,
Semakin dirasa semakin meminta.

Oh Manusia,
Akal dikurniakan padamu,
Berpadulah dengan hatimu,
Bersamalah memerangi hawa nafsu,
Menilai kehidupan dunia penuh berduri,
Agar berbahagia di daerah akhirat yang abadi.

( 8:52 am / 30.07.10 / MEC'10 )