Friday, November 26, 2010

Empat oh empat

Pernah ditulis oleh Prof. Dr. Hamka (Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah) dalam bukunya “Lembaga Budi”.

Empat perkara yang menimbulkan cinta: Muka jernih,ringan tangan, mencari persesuaian, sama di mulut dengan di hati.
                Empat perkara alamat budiman: Menjauhi cakap kosong, menjauhkan tangan dari mengganggu, cepat memberikan penghargaaan, lambat baru menjatuhkan tuduhan.
                Empat perkara alamat durjana: Membuka rahsia kawan, memungkiri janji, mempergunjingkan orang, menyakiti tetangga.
                Empat perkara alamat iman: Pandai menutupi kemiskinan, redha dengan penghasilan yang sedikit, terpelihara lidah dari berkata-kata, suka berbuat baik.
                Empat hilang kerana empat: Hilang hikmat kerana tidak syukur, hilang kekuatan kerana mencari musuh, hilang kekuasaan kerana kelalaian, hilang kesempatan kerana memandang enteng.
                Empat macam perkara dipantangkan oleh empat macam orang: Perkara kecil bagi orang yang berjiwa besar, mendorong-dorong bagi orang yang tahu harga diri, berbuat sewenang-wenang bagi orang yang mengenang masa depan.
                Empat macam kepada empat: Mengunci mulut membawa selamat, berbuat baik membawa kepada kemuliaan, menolong orang yang lemah membawa kepada tempat pimpinan, mensyukuri nikmat membawa kepada tambahan nikmat.
                Empat dikenal dengan empat: Pengarang kerana karangannya, orang alim kerana jawabnya, orang bijaksana kerana perbuatannya, orang yang tabah kerana kesanggupannya bertahan.
                Empat perkara alamat bodoh: Berteman dengan orang bodoh, banyak perbuatan berlebih-lebihan, tak dapat mengunci rahsia, memandang enteng kebaikan orang.
                Empat perkara menunjukkan akal: Menyukai ilmu pengetahuan, tenang sikapnya, tepat jawabnya, banyak benarnya.
                Empat perkara yang menunjukkan orang yang tak dapat diberi tanggungjawab: kacau takbirnya(takwil), keji turutnya, sedikit iktibarnya, banyak sombongnya.
                Empat perkara menunjukkan seorang ahli siasat: Tak berubah air mukannya kerana kritik, tajam matanya melihat kesempatan, dapat memilih pendapat yang berbeza-beza, senyum mukanya berhadapan dengan lawan.
                Empat sempurna kerana empat: Sempurna ilmu kerana amal, sempurna agama kerana taqwa, sempurna amal kerana niat, sempurna kehormatan diri kerana pengaruh (wibawa).
                Empat tak dapat dipisahkan dari empat: Rakyat tak dapat dipisahkan dari politik, tentera tak dapat dipisahkan dari pimpinan, suatu pendapat tak dapat dipisahkan dari musyawarah, suatu azam tak dapat dipisahkan dari istikharah.




(Prof. Dr. HAMKA merupakan salah seorang ulama serba boleh - tokoh pendakwah yang disegani di Nusantara, juga bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik. Beliau juga seorang pujangga ulung dan ahli fikir Islam tersohor dan juga ahli politik berkaliber.)

Sunday, November 14, 2010

Hari Edul Adha – Apa yang perlu dikorbankan?


            Umum mengetahui sambutan Edul Adha merupakan temasya terbesar dalam diari umat Islam.    Perkara utama yang ingin dikongsikan dalam post kali ini ialah tentang erti sebenar pengorbanan. Mari kita teliti dan memperhalusi makna sebenar kalimah ‘korban’ yang diperintahkan oleh Allah. Apakah korban semata-mata pada unta, lembu mahupun kambing? Apakah maksud tersirat disebalik temasya yang agung tersebut?

            Kita singkap kembali tabir sejarah manusia bermula dari zaman Nabi Adam A.S.  Inilah detik pertama ujian ‘korban’ Allah kepada hamba-Nya. Tatkala manusia masih baru dicipta, Allah S.W.T memerintahkan anak-anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil untuk ber’korban’ hasil kerja mereka. Habil merupakan penternak dan menyediakan ternakan-ternakan yang gemuk dan sihat sebagai ‘korban’nya kepada Allah. Manakala, Qabil yang merupakan petani menyediakan tanaman-tanaman yang rosak dan rendah kualitinya kepada Allah. Maka, manakah korban yang diterima oleh Allah? Semestinya Allah menerima korban yang tulus ikhlas daripada Habil. Firman Allah dalam Surah al-Maidah : 27 :
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ ﴿٢٧﴾
[27] Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;"

            Kita lihat lembaran sirah Nabi Ibrahim berkaitan dengan topik perbincangan iaitu ‘korban’. Allah merakamkan kisah ini dalam Surah as-Shaffat ayat 102-111 yang bermaksud :
 [102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. [103 ] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), [104] Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! [105] “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. [106] Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; [107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; [108] Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: [109] “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. [110] Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. [111]Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

            Inilah ujian korban yang diperintahkan Allah kepada baginda. Apakah mudah untuk menyembelih anak sendiri yang amat dicintai? Bahkan, baginda sering memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh, “ Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang saleh" (Q.S>37:100). Setelah berumur 100 tahun, barulah Allah memperkenankan doa baginda. Belumpun sempat Nabi Ismail membesar dewasa, datang perintah korban kepadanya. Namun, hanya keikhlasan, ketaqwaan dan keyakinan yang jazam kepada Allah sahaja membantu baginda menyempurnakan perintah ini.

            Begitu juga perihalnya pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Sepertimana firman Allah dalam Surah al-Kauthar :
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ ﴿٣﴾
[1]Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). [2] Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). [3] Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)
            Sembelihan yang dilakukan oleh hamba-Nya adalah tanda syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat kurniaan Allah. Sekali lagi, hanya hati yang benar-benar ikhlas sahaja yang sanggup berkorban apa sahaja demi membuktikan rasa cintanya kepada Pencipta Cinta. Tidak cukup hanya dengan menumbangkan haiwan al-an’am pada Hari Edul Adha sudah bermakna kita sudah berkorban. Penegasan Allah dalam Surah al-Hajj : 37 : "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah tapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya" Perngorbanan yang dituntut ialah mujahadah dalam segenap aspek termasuk hati, akal, nafsu, harta, wanita , pangkat dan lain-lain. Begitulah tema blog ini, “Mujahadah Sang Hati”.

            Wahai hamba Allah yang budiman, apakah titik persamaan yang tersirat daripada sorotan Sirah-sirah berkisar ‘korban’ yang Allah nukilkan dalam kalam-Nya yang Mulia? Tidak lain adalah peringatan Allah kepada hamba-hamba-Nya untuk berfikir tentang hakikat nikmat-nikmat di dunia yang sementara!  Allah perintahkan ‘korban’ agar hambanya sentiasa ingat bahawa Akhirat itu adalah destinasi mereka yang sebenar.

            Ingatlah empunya Jiwa, dunia ini tak akan pernah mendatangkan kebahagian yang mutlak. Manusia yang memburu kepuasan dengan dunia semata-mata pasti tidak pernah merasa puas, bahkan semakin meminta. Mungkin analogi yang paling sesuai ialah “Ibarat seorang haus yang meminum air laut, semakin diminum akan semakin mendatangkan rasa dahaga”. Maka, ingatlah wahai Si Hamba, semakin kamu memburu dunia semakin belum pernah kamu merasa nikmatnya. Akhirnya kamu cenderung untuk mencari nikmat-nikmat yang Allah larang. Saat itu kita lupa segalanya, kita lupa akan kebesaran dan keagungan Allah. Pandangan kita kabur dengan nikmat Allah yang menggunung, kita tenggelam di lautan dunia lantas kurnian-kurnian tersebut didustakan demi kepentingan diri sendiri. Allah menegaskan hal ini:
Sesunggunya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (pengingkarannya). Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta” (al ‘Aadiyat: 6-8).



              Mari kita renungi nasihat berguna daripada Syeikh Mufti Taqi Uthmani, iaitu antara ulama top 5 dalam dunia berkenaan hal ehwal kewangan, "The similitude of this world is that of water, and the similitude of man is that of a boat. Just like a boat cannot move on without water, man cannot stay alive without this world and its provisions. Well, as far as the water and the boat are concerned the water benefits the boat only as long as it surrounds the boat, as long as it supports the boat. But once water enters the boat it will be no longer of benefit. It will rather destroy the boat, causing it to sink.” (Diambil dari artikel tulisannya bertajuk “ Islam and Modern Economic Issues ” ). Renungkan dan fikirkan kembali!

             Begitulah analogi perbandingan manusia dengan alam. Tidah dapat dinafikan akan kepentingan alam bagi kelancaran kehidupan manusia. Bahkan, tanpa dunia tiadalah kehidupan bagi manusia. Maka, sebab itu Allah menurunkan Nabi Adam ke dunia. Pastinya manusia tidak dapat hidup tanpa dunia. Namun, dunia hanya bermanfaat jika ia digunakan seiring dengan keperluan manusia sepertimana manfaat air untuk mengapungkan kapal. Tetapi, andai kata air itu masuk ke dalam kapal, maka rosak dan tenggelamlah kapal tersebut. Begitu juga perbandingannya dengan alam. Dunia, jika masuk ke dalam hati manusia, maka rosak dan binasalah hamba Allah itu! 

             Suatu hari, Rasulullah SAW melewati sebuah bangkai kambing yang tergeletak di tanah, lalu beliau bersabda, "Tidakkah kalian lihat betapa hinanya bangkai ini?". Para sahabat menjawab, "Karena hina itulah pemiliknya membuangnya, wahai Rasulullah." Kemudian beliau bersumpah, "Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sungguh dunia lebih hina di mata Allah daripada bangkai kambing ini. Andaikan dunia setara dengan sayap nyamuk saja, nescaya orang kafir takkan diberi minum." (HR. Ibnu Majah, Hakim, Tirmidzi)

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air

Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada, ditangkap hilang
Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku

Kerana disitu tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintamu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yg kubunuh

-Antara Dua Cinta, Raihan-
           
             Sesungguhnya, akhlak Rasulullah adalah yang terbaik. Baginda adalah ikon kita, perbagai peribadi mulia baginda telah kita ketahui, tetapi apakah kita memahami? Tahu dan faham berbeza darjatnya. Tahu pada akal, tetapi faham pada hati. Kadang kala sebulan dapur baginda tidak berasap, baginda beribadah sampai bengkak buku lali. Kadangkala waktu pagi Rasulullah bertanya sarapan kepada Aishah. Jawab Aishah, “ Tiada sarapan pagi ini Ya Rasulullah.” Nabi membalas, “ Tidak mengapa wahai Aishah, aku berpuasa.” Inilah kehidupan Kekasih Allah! Apakah baginda tidak mampu untuk hidup senang? Jauh sekali, bahkan Rasulullah adalah Ketua Negara Islam, baginda juga seorang peniaga yang berjaya.

               Rasulullah adalah ikutan kita. Nabi sudah payah untuk kita senang, Nabi bengkak kaki beribadah tetapi kita tidak sampai ke tahap demikian. Nabi berlapar tapi kita kenyang, nabi tidur tidak cukup tapi kita tidur nyenyak. Semua yang nabi buat adalah untuk kita, Ya! Semata-mata untuk umatnya yang amat dicintainya. Tapi, apakah begitu cinta kita pada Rasulullah. Wahai umat Muhammad, Nabi kita tidak pernah berkata, “Kamu kena beribadah sehingga bengkak kaki” ataupun “ Kamu perlu hidup susah payah sebagaimana aku” Namun, disebalik akhlak Nabi yang diteladani, seolah-olah Nabi berkata, “Kamu tidak perlu hidup payah sebagaimana aku. Bahkan kamu boleh hidup senang, mewah. Tapi ingat, Aku miskin sebab nak tunjuk kepada kamu bahawa yang penting adalah disana, bukan disini. Yang penting ialah hidup kita di Akhirat. Jika kamu segak disini, tetapi jangan kamu hodoh disana! Jika kamu mulia disini, tetapi jangan kamu hina disana! Jika kamu mewah disini, tetapi jangan kamu miskin disana! Jika kamu megah disini, tetapi jangan kamu terhumban disana!” Perhatikanlah maksud Rasulullah ini, moga-moga kita diberi taufik dan hidayah daripada Allah.

               Begitulah erti ‘korban’ yang sebenarnya iaitu pengorbanan Hati, Akal dan Jasad. Berkorban segalanya demi menjunjung Syariat Allah. Pengorbanan Sang Hati adalah membimbing Akal dan Jasadnya daripada dicengkam maksiat, nafsu syahwat dan cinta kepada dunia yang melebihi cinta kepada akhirat. Pengorbanan Akal adalah dengan menangkis pelbagai serangan pemikiran (qhazwah al-fikr) seperti pluralism, liberalism serta tidak materialistik. Manakala, pengorbanan Jasad pula menjalankan perintah Allah iaitu amal makruf dan nahi mungkar. Apakah cukup pengorbanan kita selama ini? Tepuk dada tanya amal.