Friday, December 31, 2010

2010 – Masa berlalu tidak akan kembali


          Tirai tahun 2010 bakal dilabuhkan beberapa detik lagi. 2011 pula bakal kutempuhi. Aku rasakan 2010 amat bermakna bagiku untuk kukenang sepanjang hidup, memori suka duka, tawa tangis silih berganti. Kuharapkan 2010 menjadi tahun yang kuingat sehingga ke akhir hayat selagi jasad dikandung badan, selagi nafas dihirup segar.

          Dimulai tabir 2010 dengan penuh debaran kerana menanti detik keputusan SPM’09 diumumkan. Cuti yang kusangka panjang, terpaksa dipendekkan kerana aku dikerah untuk berkhidmat untuk Negara, PLKN! Kem yang bermula pada 4 Januari sehinggalah sehari sebelum SPM diumumkan. Tiga bulan aku disana cukup banyak untuk dinukilkan dan diambil pengajaran buat diriku. Aku ‘dipaksa’ terjun ke medan muda-mudi zaman kini yang berbagai latar belakang tanpa mengira kaum. Barulah aku tahu situasi sebenar masyarakat, umat Islam generasi sebayaku.

          Terkejut dan kecewa dengan situasi yang kuhadapi, aku mesti mengubahnya! For things to change I must change first! Sememangnya sedikit perasaan kurang selesa aku alami ketika bergaul dengan sebilangan teman-temanku se’kem’, mana tidaknya atmosfera aku berbeza sebelum ini. Bergelar lepasan ‘Anak Bumi Waqafan’ aku mesti cuba terdaya untuk mengubah. Baru aku tahu sebenarnya nikmat menjadi anak Bumi Waqafan ketika ini. Setidaknya situasi yang kualami memaksa aku untuk menjadi rakan yang menasihati dan membimbing, aku belajar menjadi daie. Sekalung terima kasih kuucapkan pada Cikgu Nasrizal, Salleh, Umar, Syed, Amir dan lain-lain yang bersama berganding bahu dalam tugas ini. Banyak aku belajar dari kalian.

          Tidak tergambar kesulitan yang kualami dalam warkah yang ini, biarlah ia menjadi ingatan sepanjang zaman. Semangat aku yang down sebagai daie terasa terpanggil semula ketika bertemu dengan Afiq Hizamie di Kem TLDM, Lumut. Pelukkan teman seangkatan di Blok Omar mengembalikan semangat aku untuk terus menjadi daie dalam masa tidak sampai sebulan lagi. Bagiku, rakan-rakan di Bumi Waqafan, kalian wajib terpilih ke kem itu baru kalian merasa erti ‘turun padang’. Itulah yang aku belajar, apabila keadaan memaksa, kita mesti memaksa diri untuk melakukannya walaupun sukar dan tidak biasa, itupun kalau kita rasa bertanggungjawab.

          Dengan pakaian seragam PLKN aku bersama keluarga ke Klang untuk bersama menantikan detik SPM diumumkan. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Aku bersyukur atas kejayaan yang diberi. Hatiku semakin bersemangat untuk menimba ilmu apabila aku melihat mata emak dan abah ku berair tanda gembira tatkala melihat slip keputusanku. Tidak ada lagi kepuasan bagi seorang anak apabila berjaya menggembirakan kedua ibu-bapanya. Ya Allah, pasti hatiku sebak apabila mengenangkan detik gembira ini. Apakah ia juga rezekiku pada masa-masa akan datang? Moga-moga segala urusanku dipermudahkan.

          Perjalanan diteruskan lagi. Aku mendaftar di INTEC, Uitm pula. Doaku untuk meneruskan pengajian dalam Iqtisad Islami dikabulkan. Persediaan tiga bulan disini cukup bermakna bagiku. Walaupun pendek, tapi kurasakan ibarat setahun aku disitu. Pasti tidak kulupakan hidupku di INTEC. Diri ini kulatih menjadi tidak ­exam oriented. Paling aku suka ialah belajar Islamic Banking dengan Prof. Ramawan. Walaupun kadang-kadang tidak faham, dari situ timbul sifat ingin tahu, maka aku semakin minat dengan bidangku. Umar Chapra Jr. , Ust.Zaharuddin in future menjadi doa rakan-rakan, terima kasih sahabat-sahabat MEC01!! Kadang-kadang hati menjadi sebak bila teringat kelas itu ditinggalkan.


          Pengisian ilmu di INTEC amat memuaskan aku. Terima kasih Ust. Redha atas tunjuk ajar yang tidak pernah jemu dan keringatmu yang tidak pernah kenal erti penat. Kata-katamu “Hanya orang yang sibuk je yang ade masa” menjadi azimatku untuk menyibukkan diri di Yarmouk. Pelbagai ilmu yang ku pelajari, dari isu kalimah Allah, Judi Bola, Dinar Emas, Syoknya Kahwin sampailah tazkirah Ramadhan sebelum aku berangkat. Pesanmu “kuasai Usul Fiqh” menjadikan aku makin bersemangat disini. Tiga bulan di INTEC cukup terisi rasanya. Aku yakin setiap hari, pasti aku belajar sesuatu yang baru sama ada di kelas mahupun ketika daurah ilmu.           

          Masa terus berjalan tanpa mampu ditahan mahupun sesaat. Itulah lumrah kehidupan. Tidak pernah sekali-kali masa menunggu manusia. Saat-saat terakhir sebelum berangkat, ku isi dengan membaca buku-buku yang bakal ku tinggalkan sendirian dibilikku selama empat tahun. Catatan isi penting juga aku buat moga-moga intipatinya dapat sentiasa ku amalkan.

          Perasaan bercampur baur tatkala menunggu hari-hari untuk berangkat. Keakraban bersama keluarga tercinta saat terakhir di KLIA kusematkan kukuh dihati. Lafaz pesanan terakhir emak dan tepukan semangat abah masih segar dalam memori. Meskipun jauh, tapi kurasakan dekat. Maka, sampailah aku ke Dataran Syam yang diberkati, Jordan. Sekali lagi, doaku untuk menjejakkan kaki disini dikabulkan Allah. Hanya lafaz syukur yang mampu kuucapkan atas nikmat-Nya yang tidak terhitung.

          Ku selitkan secebis pengalaman di Irbid, bumi yang bakal kudiami lagi empat tahun. Sekejap je rasanya dah masuk bulan keempat. Pantas benar masa berlalu. Langkah dimulakan dengan azam dan strategi yang rapi. Begin with end in mind, cuba tinggal untuk dilaksanakan. Disinilah perlunya Mujahadah. Tanpa Mujahadah tiada nilai lah strategi yang diatur. 

          AJK Persegaran?! Kuharungi dengan sabar dan tabah bagi menjayakan Program Gempur MMY. Krisis hanya mendedahkan sikap, kamu perlu lebih banyak belajar untuk sabar! Eh, kamu perasan tak, semakin sibuk semakin banyak masa? semakin rajin sentuh buku...Maka tepatlah, hanya orang yang sibuk sahaja yang punyai masa. Saat kita kesempitan baru tahu erti masa lapang, baru tahu betapa mahalnya harga sesaat! Bertindih tugas perlu kepada Aulawiyat, gagal memlilih aulawiyat bermakna matlamat tidak jelas, masih kabur.

          Acara terakhir ialah mentasjil subjek semesta kedua. Sekali lagi kesabaran diuji. Ingat, apabila meminta yang terbaik daripada Allah, maka tawakal kepada-Nya menjadi kunci kesabaran. Yakinlah segala yang ditentukan adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Bukankah Dia yang mencipta kamu? Alhamdulillah, kegelisahan pada awal pentasjilan diakhiri dengan kesyukuran. Ya Allah, bantulah aku untuk menghadapi cabaran pada semesta seterusnya. Ingat!! Belajar untuk kefahaman no.1, tapi score muaddal bukan no.2!

          Ku simpulkan warakah ini dengan harapan yang lahir dari hati: Sekiranya diberi peluang untuk kembalikan masa, pasti kupinta agar dikembalikan aku menjadi anak didik Bumi Waqafan. Sedikit kekesalan kerana peluang tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadi hamba Allah yang luar biasa. Tapi Allah Maha Adil, diberinya kamu peluang kedua. Peluang untuk menjadi tetamunya di Dataran Mulia ini, peluang menjadi penuntut ilmu di perantauan di Bumi bertuah ini. Maka, jangan kamu ulangi kekesalan itu. Gunakan setiap detik yang ada sepenuhnya. Luruskan niat menuntut ilmu kerana Allah. Ingatlah peluang seperti ini tidak datang dua kali!!

Wahai generasi dengarlah pesanan ini,
Bumi ini bumi bertuah;
Suburnya sesubur tanaman dilembah,
Melahirkan insan berjiwa tabah.

Kutiplah mutiara-mutiara indah,
Untuk bekalan diri berpindah;
Sebelum jejak kaki melangkah,
Sebelum penyesalan membawa padah.

( Rintihan Kalbu - Soutul mujahidin )
 
          Tirai 2010 ditutup dengan seribu kesyukuran dan sejuta harapan. Kuatkan diriku ini Ya Allah.


Sunday, December 5, 2010

Jom Berhijrah! Tapi macam mana?



Setiap perjalanan memerlukan perancangan. Life is a journey, nak berjaya dalam ‘journey’ mesti ada perancangan hidup. Perancangan melibatkan strategi-strategi agar matlamatnya jelas terpapar di depan mata. Yakinlah, langkahmu selepas itu pasti bermakna dan menjadi ibadah kepada-Nya.

(Nasihat Ustaz Hasrizal dalam bukunya Rindunya Bau Pohon Tin)
  1. Peperangan harus terancang. Begin with the End in Mind, adalah satu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya cipaan Allah. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluk Allah yang istimewa, dan kembara di bumi Anbiya ini adalah untuk mencari keistimewaan itu. Menjadi pewaris Anbiya bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dengan ayat-ayat Allah dan pesanan-pesanan tadi, ibarat menggenggam bara api biar sampai menjadi arang.
  2. Peperangan harus ada kemahiran. Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini. Kata bijak pandai, "Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik.”
  3. Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnahtullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para anbiya, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.-
Amat mendalam maksudnya bagi yang mengerti. Hidup ini ibarat peperangan, peperangan penuh dengan muslihat,nak menang dalam berperang mesti pelbagai teknik dan tektik digunapakai. Tidak hairanlah banyak individu hebat dalam sejarah dunia adalah mereka yang pakar perang! Lihat sahaja Adolf Hitler, Benito Mussolini, dan Winston Churchill. Walaupun mereka antara pencetus Perang Dunia ke-2, tapi disebalik itu mereka memiliki peribadi yang hebat. Kajilah latar belakang mereka dan ambillah peribadi mereka yang hebat itu! Bahkan Luiz Felipe Scolari, menjadi jurulatih pertama yang memenangi perlawanan dalam World Cup sebanyak 12 kali berturut-turut (7 kali bersama Brazil ’02 dan 5 kali bersama Portugal ’06) juga adalah pakar perang! Beliau mengaplikasikan konsep perang China iaitu The Art of War yang dipopularkan oleh Sun Tzu dalam bola sepak.

Itulah pentingnya strategi dalam setiap urusan. Tanpa strategi, anggap sahaja hidupmu kabur dan terumbang-ambing. Boleh jadi kamu menempah kegagalan dalam hidup. Strategi, inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah ketika peristiwa Hijrah. Mari kita teliti strategi-strategi Rasullullah ketika berhijrah yang banyak direkodkan dalam kitab-kitab sejarah:-                                                                                               http://dakwah.info/seerah-nabawiyah/hijrah-rasulullah-s-a-w/ http://nukilansiswa.blogspot.com/2010/05/di-sebalik-tabir-hijrah-rasulullah.html 
  
Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi SAW menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah. Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

          Lantas, sepatutnya umat Islam mencontohi Baginda menjadi umat kelas pertama yang menguasai bukan sahaja keduadua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa bersaing dan mencabar ini.

          Strategi, tanpa strategi yang teratur dan sistematik apakah mampu Yahudi menakluk dunia? Dari sebangsa yang diusir kehulu kehilir, kemudiannya berpecah ke seluruh pelusuk dunia tanpa negara. Akhirnya ‘berjaya’ membuka negara malah menjadi raja kepada dunia. Sudah banyak ku lihat dan baca segala konspirasi Yahudi ini. Cengkaman mereka menyeluruh baik percaturan politik di negara-negara dunia, penipuan ekonomi melalui Federal Reserve Bank’ Amerika Syarikat (FED) dan akhlak mada-mudi yang berjaya dirosakkan. Apakah semua konspirasi ini tanpa strategi? 
Klik ini :
http://majinn.blogspot.com/2009/01/sumbangan-cerdik-pandai-yahudi-kepada.html
(Pernah tersiar dalam surat khabar Utusan dulu, tak ingat pulak tarikhnya)
             
          Selamat menyambut Maal Hijrah 1432H. Ambillah pengajaran daripada sejarah. Bukanlah sejarah andai hanya tahu fakta semata-mata.  Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.  

          Banyak pengajaran daripadanya. Post kali ini hanya menekankan keperluan dan kepentingan berstrategi dalam menempuh rimba duniawi. Contohilah Rasulullah yang begitu teratur dan berstrategi dalam setiap tindakan baginda.  Strategi yang begitu rapi ini membuahkan hasil yang cukup besar kepada Islam. Hijrah adalah titik permulaan kepada Islam untuk terus bersinar di muka bumi. Titik permulaan ini adalah berasaskan perancangan yang kemas, maka hiduplah dengan berSTRATEGI agar kamu bersinar demi agama yang tercinta!