Tuesday, March 24, 2015

Tergesa-gesakah kita?

          Selalu kita berdoa. Memohon agar Allah ﷻ memurahkan dan memberkati rezeki, tubuh badan yang sihat, amal ibadah diterima, memohon agar perjuangan Islam mencapai kejayaan, meminta Islam tertegak di muka bumi dalam segenap aspek, kita meminta itu dan ini. Tetapi, kadang-kala permintaan kita seakan-akan tidak dimakbulkan oleh Allah ﷻ. Apakah Allah tidak mendengar doa kita?

          Pernah tak kita dengar kisah seorang sahabat Nabi ﷺ bernama خباب بن الأرت? Siapa beliau nih? Apa yang mahu saya kaitkan dalam post kali ini ialah latar belakang Khabbab dan satu hadith ketika Khabbab bertanyakan satu soalan kepada Nabi ﷺ. Moga-moga memberi kita kesabaran dan motivasi untuk terus tetap dalam mengharungi liku-liku kehidupan.


Siapakah insan bernama خباب بن الأرت?

          Khabbab merupakan seorang tukang besi. Pada suatu ketika tatkala ramai sahabat Nabi yang diseksa kerana memeluk agama Islam, Khabbab adalah salah seorang yang menerima seksaan tersebut. Kaum musyrikin Quraisy tangkap Khabbab dan campakkan dia ke dalam bara-bara api tempat dia menukang besi. Maka, habis masak dan hancur daging bahagian belakangnya akibat seksaan ini hinggakan Saidina Umar ketika melihat bahagian belakang Khabbab, berpaling mukanya kerana tidak senggup melihat keadaan Khabbab itu.

        Pada suatu hari, Khabbab datang kepada nabi yang sedang berselimut, berehat di sekitar Kaabah. Khabbab datang dan mengadu kepada Nabi ﷺ :-



Kata Khabbab, "Wahai Rasullallah, apakah kamu tidakkah meminta pertolongan daripada Allah? Apakah kamu tidak berdoa kepada Allah?"

Nabi ﷺ sedar dan tahu akan azab dan musibah yang menimpa para sahabatnya. Adalah mustahil untuk Nabi ﷺ tidak melakukan sepertimana soalan Khabbab itu. Nabi ﷺ juga amat mengenali Khabbab dan tahu kisah beliau. Lihat, perhatikan jawapan Nabi ﷺ :-

"Wahai Khabbab, ada orang-orang terdahulu sebelum kamu digalikan tanah untuknya dan ditanam hidup-hidup, ada yang diletakkan di atas kepala mereka gergaji dan gergaji itu membelah kepala mereka, akan tetapi itu tidaklah menyebabkan mereka meninggalkan agama yang mereka anuti. Ada antara mereka yang disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulang-belulang namun itu tidak menjadikan mereka berpaling dari agama yang mereka imani. Demi Allah, Allah akan memenangkan agama ini, urusan ini pasti akan berjaya hinggakan mereka yang berjalan dari  Sana'a ke Hadramaut tidak takut melainkan hanya kepada Allah, juga mungkin dia khuatir akan serigala yang akan mengganggu kambingnya. Tetapi kamu semua tergesa-gesa"

          Begitulah jawapan Nabi ﷺ. Setara manusia bernama Khabbab itu nama kata "kamu semua tergesa-gesa"! Apakah kita ini menerima ujian mahupun bala setanding Khabbab? Jangan mudah berputus asa. Setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah pasti didengar dan itu adalah satu Ibadah. Binalah dan pupuklah sifat sabar dalam diri.

No comments:

Post a Comment