Friday, April 17, 2015

Surah Ibrahim (2) – Pancaindera, Akal dan Wahyu

                Antara tema utama dalam Surah Ibrahim ialah peri pentingnya peranan wahyu dalam menyuluh ke jalan yang lurus. Kita mengakui, apabila berbicara mengenai wahyu, maka ia lebih bersifat perkara ghaib, mempercayainya nescaya memerlukan keimanan kepada Allah . Mana mungkin mereka yang tidak percaya kepada Allah mengakui akan kewujudan wahyu!

                Namun, apakah wahyu semata-mata perkara ghaib tanpa ada hubungtali dengan realiti? Atau ia dapat dirasakan mempunyai logik dan diterima oleh akal? Apabila akal mengakuinya, maka memilih untuk tidak mempercayai akan kewujudan dan kebenaran wahyu umpama menipu diri sendiri


Pancaindera tertipu, Akal yang membetulnya

                Cuba renung ke langit biru ketika di malam hari, lihat betapa indahnya bintang-bintang yang terbentang. Bertanya kepada mata, apakah bintang sebesar itu? Tanpa akal, mata tidak tahu betapa besarnya saiz yang dilihatnya kecil itu.

                Cuba pula berteduh di bayangan pohon yang rendang sambil menikmati nyamannya tiupan angin. Mata menyangka bayangan itu kekal selagi mata matahari terus menyinar kerana mata tidak melihat bayangan itu bergerak walau seinci. Namun, bertanyalah pada mata, apakah bayangan itu akan kekal di situ? Melalui akal yang dipandu ilmu lah kita tahu bayangan itu bergerak secara perlahan-lahan kerana bumi ini berputar.

                Sedang pula berjalan di bawah terikan matahari yang memancar, ditambah pula rasa dahaga yang amat, tiba-tiba terpandang jelas di hadapan satu tompokan air. Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan? Mata tidak mungkin menipu dengan apa yang dilihatnya. Tapi makin kita menghampiri tompokan air itu, tiba-tiba ia tiada. Ke mana menghilang? Tetapi, akal memberitahu itu adalah fatamorgana.


Fatamorgana; selain menjadi mainan mata, Allah memberi tamsilan amalan-amalan orang-orang kafir dengan fatamorgana (An-Nur:39). Amalan yang mereka sangka memberi sesuatu di akhirat kelak sebenarnya sia-sia belaka.


Akal tertipu, apakah yang membetulkannya?

                Bagaimana akal boleh tertipu? Telah menjadi fitrah manusia untuk meminta pertolongan dengan satu kuasa ghaib. Maka wujudnya pegangan animisme sejak dahulu lagi. Tatkala itu manusia sudah mampu berfikir, tetapi mengapa mereka masih menyembah pohon besar, matahari, berhala dan sebagainya yang jelas tidak mampu memberi manfaat dan memberi mudarat kepada mereka? Itulah akal yang tertipu, Wahyu lah yang menunjuk jalan.


  

No comments:

Post a Comment