Saturday, March 21, 2015

Surah Ibrahim (1)

Surah Ibrahim merupakan surah yang ke-14 dalam juzu' ke-13 di dalam al-Quran. Salah satu daripada surah-surah yang dimulakan dengan حروف مقطعة, iaitu dimulakan dengan الر merupakan Surah Makkiyah dan mengandungi 52 ayat. Banyak peringatan dan motivasi boleh kita sama-sama ambil dengan menghayati tiap butir kalimah yang ada.

Ayat 1-4 :-

  1. Seperti kebiasaannya, Allah ﷻ menegaskan bahawa al-Quran yang diturunkan adalah sebagai penunjuk kepada manusia menuju jalan yang benar. Al-Quran diturunkan bagi memberi petunjuk dan hidayah kepada manusia lantas mengeluarkan manusia daripada kesesatan (الظلمات) kepada cahaya (النور). Tiap kali kalimah ini digandingkan, kalimah الظلمات yang merupakan jamak dan kalimah النور yang merupakan mufrad digunakan. Maka, dapat kita fahami jalan yang diterima oleh Allah hanyalah satu, sedangkan jalan-jalan yang sesat yang akhirnya membawa penujunya ke neraka itu banyak dan pelbagai.
  2. Satu ancaman azab neraka yang amat memedihkan Allah ﷻ lemparkan kepada orang-orang kafir yang Allah ﷻ sifatkan sebagai :-
    • Menyukai kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat yang kekal abadi.
    • Menghalangi manusia daripada mengikuti jalan yang Allah redhai.
    • Bahkan, mahu agar jalan tersebut bengkok dan terpesong. (tidak mahu Islam tertegak dengan melakukan pelbagai cara) 

Ayat 5-8 :-

  1. Mengisahkan mengenai dakwah Nabi Musa kepada kaumnya. Allah ﷻ  memerintahkan Nabi Musa supaya mengingatkan kaumnya mengenai "أيّام الله" iaitu hari-hari Allah kerana padanya terdapat bukti-bukti kekuasaan Allah ﷻ bagi mereka yang benar-benar sabar dan benar-benar bersyukur.
  2. Apakah itu "أيّام الله"? iaitu hari yang Allah ﷻ menzahirkan nikmat kepada sesuatu kaum dengan menyelamatkan mereka daripada sesuatu malapetaka seperti Allah ﷻ menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya daripada bala tentera Firaun dengan menenggelamkan bala tentera Firaun di dalam laut atau ia merupakan hari yang Allah ﷻ menzahirkan azab kepada sesuatu kaum akibat kekufuran mereka seperti apa yang berlaku kepada kaum Thamud, umat nabi Soleh yang mereka telah dibinasakan dengan petir yang melampau dasyatnya. Begitu juga kepada kaum Aad, umat Nabi Hud yang telah dibinasakan dengan angin ribut yang amat kencang. Begitulah kisah mereka seperti mana firman Allah ﷻ dalam Surah Al-Haaqqah :-


                            

    Maksudnya : Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang mengharukan itu (4). Maka masing-masing menerima azab dunia - adapun Thamud telah dibinasakan dengan petir yang melampau dasyatnya (5). Adapun Aad telah dibinasakan dengan angin ribut yang melampau kencang (6). Yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus; maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka seperti batang-batang pohon kurma yang tumbang dan lompang (7).

    * Di selatan Algeria (Al-Jazirah) terdapat kawasan yang namanya الأحقاف, iaitu tempat Nabi Hud berdakwah dan memberi peringatan kepada kaumnya (Aad) (Surah al-Ahqof:21). Kawasan tersebut masih wujud sehingga kini. Thamud pula kaum Nabi Soleh, sesiapa yang pergi ke Tabuk, Arab Saudi, dia akan melalui kawasan ini.
  3. Kaum Nabi Musa yang muncul kemudian, diingatkan oleh Allah agar mengambil iktibar tentang kisah-kisah umat terdahulu.
  4. Apakah perlunya mengingati "أيّام الله"? Sebagai menusia, sememangnya sentiasa alpa dan leka dengan kehidupan yang singkat dan penuh penyesalan ini. Cukup satu bait syair ini mengungkapkan lemahnya manusia dek sifat pelupanya :-

    وما سمّي الإنسان إلا لنسيه       وما القلب إلا أنه يتقلّب
     "Dan tidaklah dinamakan manusia melainkan kerana sifat lupanya,
       dan tidaklah dinamakan hati melainkan sifatnya yang berbolak-balik"
  5. Nabi Musa menggesa umatnya agar ingat kepada nikmat-nikmat Allah  . Allah  telah menyelamatkan mereka daripada kekejaman Firaun dan pemerintahannya. Apakah kekejaman tersebut? Dengan mimpi yang dialami oleh Firaun bahawa kekuasaanya akan terhapus di tangan seorang lelaki Bani Israel, maka dengan nasihat ahli nujumnya, Firauan mengambil keputusan untuk membunuh semua bayi lelaki dan membiarkan bayi-bayi perempuan terus hidup. Namun, seorang bayi lelaki yang dibiarkan hidup di dalam istananya itu yang menjadi perampas kekuasaannya!

Formula al-Quran :-

Dalam bahagian ini, Allah ﷻ menyebut satu formula (جواب الشرط). Jika kamu melakukan A, maka pasti kamu dapat B. Kepastian ini adalah jaminan oleh Allah yang dapat difahami melalui gaya bahasa dalam Bahasa Arab. Formula tersebut ialah :-

(7)لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد
"Jika kamu bersyukur, pasti akan aku tambah nikmatku kepadamu, dan sekiranya kamu kufur, maka sesungguhnya azabku amatlah pedih"


Terdapat juga ayat-ayat lain dalam al-Quran yang menunjukkan bentuk gaya bahasa yang sama :-


                         

Fahamilah bahawa ayat-ayat ini membawa maksud pasti! semoga ia menjadi pembakar semangat untuk menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa.

No comments:

Post a Comment