Friday, July 25, 2014

'Suasana' Lailatul Qadar selepas Ramadhan

-Prof. Dr. Hamka, Renungan Tasawuf Manisnya Iman,  Lailatul Qadar-

Hari ke-27 puasa bersama malam ke-28 Ramadhan. Mencari ‘suasana’ Lailatul Qadar selepas berakhir Ramadhan.

Membaca karangan pendek Buya Hamka mengenai Lailatul Qadar menemukan saya dengan satu istilah yang menarik yang boleh menjadi pautan untuk istiqamah selepas berakhirnya Ramadhan iaitu mencari ‘suasana’ Lailatul Qadar.

Ibadah pada malam yang semalam itu sama dengan ibadat 1000 bulan, kerana edaran siang malam tidaklah diukur dengan panjang pendeknya hari, tetapi dinilai dengan bekas yang ditinggalkan. Kadang 1000 bulan dilalui, ertinya umur sudah lebih 80 tahun tetapi kosong tidak ada isinya. Kadang, 1 bulan yang dilalui tetapi penuh terisi, terasa seolah telah melalui 100 bulan lamaya. Itulah dinamakan ‘Sakinah’, ketenangan yang diperoleh.

Buya Hamka menukilkan contoh, seorang pemuda merampas lembaran ayat Quran dari adiknya lantas membacanya berulang kali, maka datanglah suasana yang menentukan arah hidup manusia 1000 bulan itu, ‘Sakinah’ yang diperolehnya. Itulah Umar bin Khattab.

Anjuran untuk muhasabah diri amat membantu untuk merasai ‘Suasana’ ini kerana setelah selesai diri menanya diri, memang ada rasa yang terbuka. Dada jadi lapang, Nur memenuhi kalbu, pintu langit terbuka rasanya. Tenteram telah memenuhi jiwa. Saat itu pendek, tapi nilainya lebih dari 1000 bulan. Terasa waktu itu, Allah dekat sekali dan kita tidak berdiri sendiri.

Pandangan kita pada orang lain turut berubah. Jika mendapat keuntungan dari pertolongan seseorang, maka kepada Allah kita ucapkan syukur. Jika ada orang dengki kepada kita, berbuat jahat dan memfitnah kita, dendam kita hilang berganti dengan keinsafan bahawa dia hanya alat di dalam Tuhan melangsungkan ujian kepada kita.

 Inilah kekayaan yang timbul bilamana kita telah merasai ‘suasana’ Lailatul Qadar itu. Hanya sejenak tetapi nilainya melebihi 1000 bulan. Sehingga di dalam menghadapi mujur yang malang itu, hanya satu yang kita ingat iaitu Redha.

Maka, apakah Lailatul Qadar itu tidak khusus dalam bulan puasa sahaja? Memang tidak! Bahkan di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan, insya-Allah kita dapat merasai ‘Suasana’ Lailatul Qadar. Entah di belakang jenazah yang sedang dibawa ke kubur, entah di tengah kesibukan lalu lintas di kota besar, entah di dalam munajat sehabis tahajud tengah malam, entah di mana lagi.

Buya mengaitkan ayat surah al-Qadar:4 dan surah al-Fussilat:30, saya kira Tafsir al-Azhar karangan beliau juga menerangkan hal ini dengan lebih terperinci. Ayat ini menjadi petunjuk bahawa ‘Suasana’ Lailatul Qadar itu ada di luar Lailatul Qadar. Suasana itu adalah anugerah Ilahi kepada hambanya. Yang utama kepada kita sebagai hamba ialah berusaha untuk mendapat ‘suasana’ itu.

Pada saat-saat manusia tidur, Malaikat-malaikat naik menyampaikan doa orang yang memohon, dan turun menyampaikan Ijabah. Dalam 1 hadis qudsi bermaksud, “Wahai mana-mana hambaku yang memohon, maka aku berikan. Wahai mana-mana hambaku yang meminta ampun, kau ampunkan”. Demikianlah ‘suasana’ Lailatul Qadar ada juga di luar Lailatul Qadar. Tetapi dengan ayat-ayat yang istimewa Allah menganjurkan kita mengintai ‘Lailatul Qadar’ di dalam Ramadhan.

No comments:

Post a Comment