Wednesday, July 30, 2014

Fiqh Zakat

          Zakat merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam. Di dalam al-Quran, ayat-ayat menyuruh untuk mendirikan Solat selalu disertai dengan perintah menunaikan Zakat. Oleh itu, mempelajari ilmu mengenai Zakat tidak kurang pentingnya seperti mana pentingnya mempelajari ilmu mengenai Solat dan ibadah-ibadah lain. Bahkan lebih daripada itu, umat Islam sepatutnya menanam azam untuk menjadi pemberi zakat (diklasifikasikan oleh mazhab hanafiah sebagai golongan kaya) bukan hanya memberi Zakat Fitrah.

          Oleh itu, dalam perbincangan ini penulis membahagikan kepada empat bahagian utama untuk memahami Fiqh Zakat iaitu :-
  1.   Pengenalan am Zakat  (Definisi dan asnaf-asnaf zakat)
  2.   Syarat-syarat zakat (ke atas mukalaf dan ke atas harta)
  3.   Jenis-jenis Zakat
  4.   Maqasid, hikmah dan kesan perlaksanaan Zakat


*perbincangan mengenai Fiqh Zakat dalam blog ini lebih kepada kefahaman penulis terhadap buku al-Wajiz fi Iqtisodiyat az-Zakah wa al-Waqaf  oleh Prof. Dr. Abdul Jabbar as-Sabhany.


Satu : Pengenalan Am kepada Zakat

Menurut istilah Syarak, zakat didefinisikan sebagai “perintah untuk mengeluarkan sejumlah tertentu daripada harta yang tertentu untuk diberikan kepada kumpulan-kumpulan tertentu (asnaf) dengan syarat-syarat tertentu”. Definisi ini sebenarnya telah mencakupi hampir kesemua perbincangan yang bakal dinukilkan.

"مقدار مخصوص (مقدار الواجب), في مال مخصوص (الأموال الزكيوة), لطوائف مخصوصة (مصارف الزكاة), بشروط مخصوصة (شروط الزكاة في المكلف و في المال)".

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t secara jelas menyebut lapan kumpulan sasaran zakat (asnaf-asnaf) iaitu melalui firmannya (at-taubah:60) :-

(( إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ. ))

(( Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. ))

Daripada ayat ini, maka asnaf-asnaf zakat ialah :-
  1. Orang fakir
  2. Orang miskin
  3. Badan pengurus zakat
  4. Mereka yang bukan Islam tetapi jinak hatinya dengan Islam (mereka gunakan duit zakat tersebut untuk maslahah umat Islam) , kumpulan ini tidak semestinya hanya mualaf
  5. Hamba (untuk membebaskan dirinya)
  6. Orang yang berhutang (untuk melangsaikan hutangnya)
  7. Mereka yang sedang berjihad pada jalan Allah (digunakan untuk keperluan berjihad)
  8. Mereka yang bermusafir yang terputus bekalan dalam perjalanan (digunakan untuk memudahkan urusan pemusafiran)


Dua : Syarat Zakat kepada ‘Mukallaf’ (Pemberi Zakat) dan kepada Harta yang Wajib Zakat


Syarat Zakat kepada 'Mukallaf '



1.       Islam
·         Tidak dikenakan kepada non-Muslim
·         Jika non-Muslim memeluk Islam, dia tidak perlu untuk membayar zakat untuk tahun-tahun sebelum keislamannya.
·         Mereka yang murtad :-
Ø  Majoriti mazhab – dikenakan ke atasnya zakat (kefarduan zakat tetap mengikatnya).
Ø  Hanafiah – Tidak dikenakan ke atasnya zakat.

2.       Berakal dan baligh
·         Zakat oleh kanak-kanak dan orang gila
Ø  Majoriti mazhab – dikenakan zakat (dalil pensyariatan yang bersifat umum), (dirojihkan oleh Prof. Dr. Abd Jabbar as-Sabhany)
Ø  Hanafiah – Tidak dikenakan zakat

3.       Merdeka
·         Tidak dikenakan zakat kepada hamba



Syarat Harta yang Wajib Zakat




1.       Pemilikan sempurna
·         Pemiliknya bebas untuk menggunakan zat (‘ain) harta dan manfaatnya.
·         Harta yang dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna – harta yang dicuri, harta yang telah hilang.
·         Harta pemiutang (akibat dipinjam) – sekiranya hutang tersebut boleh dikembalikan maka ia dikira pemilikan sempurna meskipun tiada pada pemiliknya. (pandangan Jumhur ulama’).
·         Harta yang tidak ditentukan pemiliknya dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna seperti harta waqaf dan harta rampasan perang yang tidak dibahagikan.

2.       Cukup nisob
·         Nisob ialah kadar yang ditentukan untuk dikeluarkan zakat. Kadar ini ditentukan oleh Sunnah ataupun melalui proses Qias.
·         Maka difahami bahawa nisob ialah kadar MINIMUM harta yang wajib dikeluarkan zakat.
·         Syarat ini sebenarnya terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab. Hanafiah contohnya tidak mensyaratkan nisob kepada zakat tanaman dan buah-buahan, zakat kuda dan zakat madu.

3.       Cukup haul
·         Haul ialah cukup tempoh satu tahun qomariah (kiraan bulan)
·         Menurut Ibn Rusyd, Majoriti Fuqoha’ mensyaratkan haul kepada zakat emas,perak dan haiwan ternakan.
·         Haul tidak disyaratkan kepada zakat tanaman dan buah-buahan, zakat harta karun dan galian, zakat madu.
·         Syarat haul untuk zakat harta perolehan, terdapat perbezaan pandangan fuqoha’. Sheikh al-Qaradhawi berpendapat tidak disyaratkan haul (lebih dekat dengan dalil pensyariatan)
·         Isu menyegerakan zakat sebelum tempoh haul :-
Ø  Ada pandangan yang menjadikan riwayat athar yang menunjukkan Rasullullah melakukannya (at-Tarmizi, 3;63).
Ø  Tetapi, ia telah dibahaskan oleh Ibn Hazm (al-Muhalla, 6:97). Menurut Ibn Hazm, perbuatan Rasullullah bukannya menyegerakan zakat sebelum cukup haul tetapi pemberian pinjaman oleh Baitul Mal Zakat.
Ø  Secara jelas, Ibn Hazam menegaskan tidak harus menyegerakan zakat sebelum cukup haul walaupun dalam kadar sekelip mata (al-Muhalla, 6:95-96)

4.       Harta yang berkembang (النّماء)
·         An-nama’ yang dimaksudkan ialah harta yang boleh berkembang (النّماء الحكمي), tidak disyaratkan berkembang secara sebenar (sendiri) (النماء الحقيقي).
·         Antara ciri-ciri harta yang tidak termasuk dalam syarat ini ialah :-
Ø  Harta yang digunakan utk keperluan peribadi seperti rumah, kenderaan, perkakas rumah.
Ø  Peralatan untuk bekerja, mesin, gudang, rumai kedai, gerai.

5.       Harta yang melebihi keperluan hidup
·         Keperluan hidup di sini termasuk juga semua tanggungan di bawah individu seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan lain-lain.

6.       Bebas daripada hutang
·         Sekiranya terdapat harta pinjaman atau hutang, maka harta-harta ini tidak dikira untuk mewajibkan individu tersebut dikenakan zakat.




No comments:

Post a Comment